PM anggap Keluarga Malaysia di luar negara sebagai 'duta kecil' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM anggap Keluarga Malaysia di luar negara sebagai 'duta kecil'

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menganggap Keluarga Malaysia yang berada di luar negara sebagai 'duta kecil' negara.

 

Ismail Sabri berkata, beliau berharap Keluarga Malaysia di sana terus memanfaatkan keluarga dan masyarakat di Malaysia dengan memaparkan imej positif, dan bukanlah seperti ‘bertelingkah antan di lesung, ayam juga yang kenyang’.

 

"Konsep Keluarga Malaysia bukan retorik atau slogan semata-mata, tetapi merupakan semangat yang diterapkan kerajaan dalam pentadbiran negara.

 

"Sementara saya di New York, sudah pasti saya teruja dapat meluangkan masa bersama Keluarga Malaysia di sini.

 

"Mereka adalah ‘Duta Kecil’ negara. Saya harap, Keluarga Malaysia di sini terus memanfaatkan keluarga dan masyarakat di Malaysia dengan memaparkan imej positif, dan bukanlah seperti ‘Bertelingkah antan di lesung, ayam juga yang kenyang’," katanya menerusi ciapan di Twitternya hari ini.

 

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di New York pada Khamis lepas bagi menyertai pemimpin dunia lain dari lebih 150 negara pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Sesi ke-77.

 

Berucap dalam Bahasa Melayu, yang julung kali digunakan oleh pemimpin Malaysia di UNGA, Ismail Sabri menyampaikan Kenyataan Negara pada Jumaat yang menyaksikan beliau menyentuh pelbagai isu antarabangsa termasuk konflik di Ukraine, Myanmar dan Palestin selain sekuriti makanan serta perubahan iklim. 

 

Di luar UNGA, Perdana Menteri bertemu Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, rakan sejawat beliau dari Belanda iaitu Mark Rutte dan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. 

 

Bahagian kedua lawatan kerja Ismail Sabri ialah kunjungan empat hari ke UAE dari 26 hingga 29 September 2022. 

 

Beliau dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Istana Presiden di Abu Dhabi hari ini. 

 

Ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua pemimpin sejak pelantikan Sheikh Mohamed sebagai Presiden UAE yang baharu pada 14 Mei lepas. 

 

Agenda perbincangan utama antara kedua-dua pemimpin ialah meneroka bidang kerjasama berpotensi untuk terus memperkukuh jalinan pelbagai usaha sama yang sudah lama terjalin antara Malaysia dan UAE. - DagangNews.com