KUALA LUMPUR 2 Feb - Tandas awam di hentian sebelah Plaza Tol UPM di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup selama dua bulan mulai hari ini bagi memberi laluan kerja-kerja menaik taraf kemudahan tersebut.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam satu kenyataan berkata, usaha menaik taraf kemudahan berkenaan adalah bagi memberi lebih keselesaan kepada pengguna lebuh raya.
Sehubungan itu katanya, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya menggunakan kemudahan tandas awam yang disediakan di lokasi lain seperti di Plaza Tol Kajang, Hentian Sebelah Serdang (Arah Utara) atau hentian sebelah plaza tol berdekatan.
"Pengguna juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan atau mendapatkan maklumat trafik dengan menggunakan aplikasi PLUS.
"Pengguna juga boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan," katanya.

Katanya, PLUS mengucapkan terima kasih kepada pengguna lebuh raya atas perhatian dan kerjasama yang diberikan. - DagangNews.com








