PLUS sasar pengurangan kadar 7% kemalangan maut di lebuh raya pada 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PLUS sasar pengurangan kadar 7% kemalangan maut di lebuh raya pada 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Dis - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menyasarkan untuk mengurangkan kadar kematian sebanyak 7% akibat kemalangan melibatkan semua jenis kenderaan di lebuh raya kendaliannya pada tahun 2023.

 

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, ia adalah selaras dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia untuk mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50% menjelang 2030.

 

Beliau berkata, sasaran itu boleh dicapai menerusi data serta statistik yang lebih strategik bagi mengurangkan jumlah kematian dan kemalangan di lebuh raya berkenaan.

 

Jelasnya, data serta statistik tersebut akan turut dikongsikan bersama Rakan Keselamatan PLUS iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya dalam mengurangkan kemalangan membabitkan kenderaan-kenderaan berat dan motosikal.

 

"Bagi mencapai matlamat ini, PLUS dengan kerjasama JPJ dan PDRM menyasarkan untuk mengurangkan kadar kemalangan melibatkan kenderaan berat, motosikal, kemalangan di lorong kecemasan dan kemalangan disebabkan objek atau halangan di lebuh raya pada tahun hadapan.

 

“Oleh demikian, kami akan memberi fokus terhadap isu keselamatan yang membabitkan penunggang motosikal yang menjadi penyumbang terbesar kepada statistik tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Zakaria menghadiri Mesyuarat Penyelarasan dan Penetapan Petunjuk Prestasi Utama (PPU) JPJ dan PLUS di Akademi JPJ di Melaka baru-baru ini. 

 

 

plus
Datuk Lokman (dua, kiri) bergambar bersama Datuk Zakaria Ahmad Zabidi (dua, kanan) ketika Mesyuarat Penyelarasan dan Penetapan Petunjuk Prestasi Utama JPJ dan PLUS di Akademi JPJ, Melaka

 

 

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan dan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan JPJ serta bahagian operasi PLUS.

 

Statistik di lebuh raya kendalian PLUS menunjukkan terdapat pengurangan jumlah kemalangan pada tahun 2022 berbanding tahun 2019. 

 

Bagaimanapun, kemalangan melibatkan kenderaan berat meningkat sebanyak 2%. Kemalangan di lorong kecemasan membabitkan kenderaan yang rosak juga meningkat sebanyak 5% berbanding tahun 2019. - DagangNews.com