KUALA LUMPUR 14 Mac - Platform Selangor (PLATS) mencatatkan peningkatan sebanyak 62% kepada 11,881 peniaga bazar Ramadan dan medan selera yang menjalani latihan perniagaan secara digital menerusi platform berkenaan pada 2022, berbanding 7,742 peniaga pada tahun sebelumnya.
PLATS dalam kenyataan hari ini berkata, peningkatan itu sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan pemegang taruhnya.
Selain itu, platform tersebut turut menyediakan peluang pekerjaan kepada 133 pelajar, graduan baharu dan pekerja bebas melalui Rakan Digital Selangor (RDS).
Katanya, pasukan RDS diberi tugas di lapangan untuk melatih semua peniaga dan penjaja setempat mengenai pendaftaran perniagaan mereka di laman web PLATS.
"PLATS juga mengendalikan lebih daripada 50 program seperti latihan lapangan untuk peniaga kecil dengan kerjasama dengan semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor.
"Antara topik pembelajaran lain untuk peniaga kecil dan penjaja termasuklah kaedah untuk menguruskan akaun media sosial, suntingan asas hantaran media sosial, proses pengurusan tempahan dalam talian, penggunaan transaksi tanpa tunai dan aturan pendigitalan asas perniagaan," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, pihaknya berbesar hati dapat membantu memperkasa penjaja tempatan dengan kemahiran perniagaan digital selaras dengan visi kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebuah negeri yang pintar, boleh didiami dan makmur.

Katanya, statistik itu jelas membuktikan dengan memberi mereka pendedahan, kemahiran serta sistem sokongan bersesuaian dapat mendidik penjaja untuk lebih celik digital serta memudahcara peralihan penjaja kepada Revolusi Industri 4.0.
"Menerusi PLATS, penjaja dapat membina ‘online presence’ sekali gus dapat mengembangkan saluran perniagaan mereka," katanya.
PLATS adalah sebuah platform promosi dan direktori digital yang dibangunkan untuk menggerakkan ekonomi penjaja dan peruncit di Selangor yang tercetus akibat pandemik COVID-19.

Sejak pelaksanaannya pada 2020, lebih daripada 20,271 peniaga telah berdaftar di PLATS.
PLATS merupakan inisiatif PNSB dan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), manakala latihan berkenaan adalah langkah proaktif kerajaan negeri untuk membantu rakyat mempertingkatkan perniagaan mereka menerusi platform komuniti digital.
Sewaktu ditubuhkan pada 2021, inisiatif berkenaan bermatlamat untuk mendaftar dan mendigitalkan 20,000 peniaga pada 2021 dan seramai 10,000 peniaga lagi pada 2022. - DagangNews.com








