WCT raih subkontrak RM926.2 juta projek pembangunan 6 blok kediaman mewah di Abu Dhabi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

WCT raih subkontrak RM926.2 juta projek pembangunan 6 blok kediaman mewah di Abu Dhabi

Pulau Yas di Abu Dhabi - Gambar Pre Launch Properties
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 6 JulaiWCT Holdings Berhad terus mengukuhkan kedudukan di pasaran global apabila berjaya memperoleh tender pembinaan bernilai kira-kira RM926.2 juta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

 

Ia melibatkan pembangunan projek kediaman berprestij di Pulau Yas, dengan tender tersebut dijangka menyokong keterlihatan pendapatan kumpulan dalam tempoh lebih tiga tahun akan datang.

 

Kumpulan itu berkata, surat penganugerahan subkontrak tersebut diperoleh anak syarikatnya, WCT International Sdn Bhd (WCTISB), bersama Construction General Contracting House Ltd (CGCH).

 

"Dua entiti ini membentuk usaha sama (JV) tidak diperbadankan secara pegangan 50:50, yang akan melaksanakan pakej pembinaan Yas Riva Residences di pulau berkenaan," maklum WCT kepada bursa.

 

Menurutnya, nilai tender tersebut adalah 836 juta dinar UAE, yang bersamaan kira-kira RM926.2 juta, serta dianugerahkan bagi projek berkenaan untuk dibangunkan pemaju Utama, Aldar Development LLC.

 

Skop kerja melibatkan pembinaan dan penyiapan enam blok bangunan kediaman, setinggi 11 tingkat, di atas Plot C54 dan C55 lengkap dengan sebuah ruang parkir bawah tanah yang boleh dikongsi bersama.

 

WCT berkata, susulan penerimaan subkontrak tersebut, WCTISB dan CGCH akan menubuhkan sebuah syarikat JV yang diperbadankan dengan pegangan 50:50, bagi melaksanakan segera projek berkenaan.

 

WCT_DagangNews2026

 

"Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini dan dijadualkan dapat disiapkan dalam tempoh 1,218 hari dari tarikh permulaan kerja," tambah kenyataan kumpulan tersebut lagi.

 

Projek ini memperkukuhkan lagi portfolio pembinaan global, selain mencerminkan keupayaan kumpulan terus bersaing dalam pasaran pembinaan di Timur Tengah menerusi kerjasama strategik rakan kongsi.

 

Pembangunan Yas Riva Residences merupakan sebahagian pembangunan di Pulau Yas, antara destinasi utama pembangunan hartanah, pelancongan dan gaya hidup di Abu Dhabi yang menerima pelaburan besar.

 

Kata WCT, kontrak baharu itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan sepanjang tempoh pelaksanaan, selaras dengan pengiktirafan kemajuan kerja pembinaan.

 

"Syarikat turut memaklumkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak ada kaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam tender," katanya.

 

Pengumuman kontrak ini dilihat mengukuhkan lagi prospek buku tempahan, di samping memperluaskan rekod prestasi kumpulan dalam melaksanakan projek pembinaan berskala besar di luar negara. - DagangNews.com