Platform digital masih jadi pilihan sebagai medium pengiklanan - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Platform digital masih jadi pilihan sebagai medium pengiklanan - HLIB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Jan - Langkah berhati-hati yang diambil pengiklan di tengah-tengah prospek ekonomi yang lebih baik dijangka memberi kesan kepada sektor media pada 2023.

 

Ini mendorong Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menyemak turun penarafan sektor itu kepada 'neutral' daripada 'overweight' sebelum ini. 

 

Penganalisisnya, Tan Je Jyne berkata, kelonggaran terhadap sekatan pergerakan dan penyambungan semula aktiviti ekonomi telah membantu memacu pertumbuhan dan pemulihan dalam perbelanjaan pengiklanan (adex) seperti yang dilihat dalam tempoh 10 bulan 2022 berbanding 2021.

 

"Bagaimanapun, apabila perbelanjaan 'balas dendam' oleh pengguna menjadi normal berikutan kesan asas yang semakin berkurangan dan sentimen pengguna lemah disebabkan risiko inflasi, pengiklan mungkin lebih berhati-hati terhadap perbelanjaan iklan.

 

"Namun, melihat lebih jauh ke hadapan, arah aliran adex masih kurang jelas berikutan ketidakstabilan ekonomi global. Atas sebab ini, kami menyemak turun penarafan sektor ini kepada 'neutral'," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Data Nielsen menunjukkan adex bagi tempoh 10 bulan 2022 berkembang 12% dengan keseluruhan industri adex mencecah RM5.3 bilion berbanding RM4.73 bilion bagi tempoh sama pada 2021 berikutan pembukaan semula ekonomi.

 

HLIB mendapati terdapat peralihan yang lebih besar daripada akhbar sebagai segmen pengiklanan utama kepada digital kerana jurang antara kedua-duanya semakin melebar.

 

Dalam tempoh itu, adex bagi platform digital terus meningkat kepada RM1.1 bilion berbanding RM863.8 juta bagi akhbar. 

 

Menurut Je Jyne, sekiranya dolar AS terus melemah berbanding ringgit pada bulan-bulan berikutnya, ia akan membantu mengurangkan kos kertas akhbar yang meningkat.

 

"Ini dilihat positif untuk Star Media Group Bhd., kerana segmen cetakannya mungkin menyaksikan peningkatan margin, manakala Astro Malaysia Holdings Bhd. mungkin melihat kos lindung nilai yang lebih rendah memandangkan kumpulan kebiasaannya melindung nilai pendedahan dolar AS," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan Astro sebagai pilihan utamanya bagi sektor media dengan saranan 'beli' pada harga sasaran 95 sen. - DagangNews.com