Pinjaman meningkat, ramai beli rumah dan kereta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pinjaman meningkat, ramai beli rumah dan kereta

 

 

KUALA LUMPUR 30 April - Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat pada Mac kepada 5.7%
berbanding 5.1% bulan sebelumnya.

 

Menurut laporan perkembangan monetari dan kewangan bagi Mac 2021 yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan oleh pembelian kereta dan harga tanah kediaman.

 

BNM berkata, bagi sektor perniagaan pula, pinjaman terkumpul meningkat sebanyak 1.1% berbanding 1.% pada Februari. 

 

"Pada Mac, pengeluaran pinjaman dan pembayaran balik pinjaman yang lebih tinggi dicatatkan merentas kebanyakan sektor dan tujuan," katanya hari ini. 

 

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan BNM pada Mac, pinjaman yang diluluskan bagi pembelian kenderaan penumpang meningkat kepada RM5.43 bilion berbanding RM3.27 bilion pada Februari. 

 

Untuk pembelian kediaman pula, ia berjumlah RM10.87 bilion pada Mac berbanding Februari sebanyak RM8.29 bilion. 

 

Jelas bank pusat itu, pembiayaan bersih berkembang sebanyak 4.5% mencerminkan peningkatan pertumbuhan bon korporat terkumpul (Mac: 5.9%, Februari: 4.5%) dan pertumbuhan pinjaman terkumpul (Mac: 3.9%, Februari: 3.7%).

 

Inflasi keseluruhan meningkat kepada 1.7% pada Mac berbanding 0.1% pada Februari disebabkan kesan asas daripada harga bahan api runcit dalam negeri yang rendah pada tempoh sama tahun lalu (harga petrol RON95: Mac 2021: RM2.05/liter; Mac 2020: RM1.74/liter). 

 

"Kesan asas ini dijangka kekal pada suku kedua 2021 dan mereda selepas itu. Inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras kekal stabil pada 0.7%," katanya. 

 

Dalam pada itu, BNM berkata, sistem perbankan terus mengekalkan penampan mudah tunai yang kukuh dengan nisbah perlindungan mudah tunai (LCR) kekal teguh pada Mac 2021 (Februari: 147.1%).

 

Profil pendanaan institusi perbankan juga kekal stabil berikutan pertumbuhan deposit runcit yang terus kukuh.

 

"Nisbah pinjaman terjejas kasar dan bersih keseluruhan secara umumnya mampan masing-masing pada 1.6% dan 1.0%.

 

"Institusi perbankan terus menyediakan peruntukan tambahan bagi menghadapi potensi kerugian kredit, yang kini berada pada kadar 1.8% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan," katanya. 

 

Menurut BNM, pasaran kewangan domestik pada Mac terjejas akibat faktor luaran disebabkan terutamanya peningkatan kadar hasil perbendaharaan AS jangka panjang. 

 

Kadar hasil ini mencecah paras tertinggi bagi 2021 pada akhir bulan Mac berikutan jangkaan pertumbuhan dan inflasi yang lebih tinggi di AS.

 

"Kesannya, dolar AS turut bertambah kukuh. Hal ini menyebabkan mata wang negara maju dan pasaran sedang pesat membangun lain secara keseluruhan menjadi lemah berbanding dengan dolar AS. 

 

"Pada bulan tersebut, ringgit menyusut nilai sebanyak 2.6% berbanding dolar AS sementara kadar hasil MGS 10 tahun meningkat sebanyak 18.3 mata asas," jelasnya.

 

Bank pusat berkata, FBM KLCI merosot sebanyak 0.3% apabila kadar hasil bon meningkat dengan ketara dan sentimen pelabur terjejas akibat ketidakpastian yang berlarutan berhubung dengan perkembangan pandemik pada peringkat global dan jangkaan bahawa dasar monetari AS akan bertambah ketat dengan lebih pantas. - DagangNews.com