KUALA LUMPUR 11 Ogos — Stok minyak sawit Malaysia meningkat untuk bulan kelima berturut-turut ke paras tertinggi dalam tempoh hampir dua tahun, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Agensi kawal selia industri tersebut berkata, peningkatan bekalan komoditi berkenaan yang dicatatkan pada Julai 2025 disebabkan faktor pertumbuhan pengeluaran yang mengatasi eksport.
Lonjakan inventori pengeluar minyak tropika kedua terbesar di dunia selepas Indonesia itu boleh menjejaskan penanda aras niaga hadapan Malaysia, yang didagangkan tertinggi dalam empat bulan.
Berdasarkan perangkaan terkini agensi tersebut, inventori minyak sawit pada akhir Julai 2025 meningkat 4.02 peratus sepanjang bulan kepada 2.11 juta tan metrik, tertinggi sejak Disember 2023.
"Pengeluaran minyak sawit mentah meningkat 7.09 peratus pada Julai dari Jun, kepada 1.81 juta tan, tertinggi sejak September 2024," kata MPOB dalam data terbaharu diterbitkannya pada hari ini.
Selain itu tambah agensi berkenaan, eksport minyak sawit turut didapati meningkat sebanyak 3.82 peratus kepada sebanyak 1.31 juta tan selepas kejatuhan besar yang dicatatkan pada Jun 2025.
Tinjauan secara umum pula bagaimanapun meramalkan inventori Malaysia sebanyak 2.25 juta tan, dengan output yang dilihat pada kira-kira 1.83 juta tan manakala eksport pula pada 1.3 juta tan.
Eksport Julai Malaysia dihadkan oleh jualan agresif pada diskaun oleh pesaing Indonesia, yang mahu menjual sebanyak mungkin sebelum duti eksport yang lebih tinggi berkuat kuasa pada bulan ini.
Menurut Pengurus Besar, Perdagangan dan Perolehan di IFFCO, Tajgir Rahman, eksport dari Malaysia akan meningkat pada Ogos 2025, kerana langkah Indonesia cuba untuk menaikkan cukai eksportnya.
"Langkah negara jiran tersebut dijangka boleh mengecilkan lagi diskaun harga yang telah dinikmati oleh penghantaran Indonesia berbanding bekalan Malaysia, katanya.
Sementara itu, juruukur kargo Intertek Testing Services berkata, eksport minyak sawit Malaysia dalam sepuluh hari pertama Ogos meningkat 23.3 peratus berbanding sepuluh hari pertama Julai.
Dalam pada itu, Ketua Penyelidik Broker Minyak Sayuran, Sunvin Group yang berpangkalan di India, Anilkumar Bagani, berkata, kenaikan dalam stok minyak sawit tidak membebankan pasaran.
Perkembangan tersebut kata beliau, disebabkan jumlah pengeluaran pada Ogos 2025 sebenarnya kurang berprestasi, manakala eksport pula semakin meningkat. - DagangNews.com








