Public Gold meterai perjanjian peroleh jongkong emas daripada syarikat Republik Kyrgyz | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Public Gold meterai perjanjian peroleh jongkong emas daripada syarikat Republik Kyrgyz

Datuk Louis Ng bertukar dokumen dengan Pengerusi Kyrgyzaltyn, Kubat Abdraimov pada majlis pertemuan bersama wakil perniagaan Malaysia yang dianjurkan oleh Agensi Pelaburan Negara di bawah Presiden Republik Kyrgyz di ibu negara.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jun - Syarikat perdagangan logam berharga di Malaysia dan Indonesia, Public Gold Marketing Sdn Bhd (Public Gold) memeterai perjanjian dengan Kyrgyzaltyn, entiti emas domestik terbesar di Republik Kyrgyz bagi memperoleh jongkong emas daripada mereka.

 

Public Gold menjadi syarikat swasta pertama Malaysia berjaya memperoleh jongkong emas daripada daripada Kyrgyzaltyn yang dimiliki sepenuhnya oleh Agensi Pengurusan Harta Negara di bawah Kabinet Menteri dan Kementerian Kewangan Republik Kyrgyz.

 

Walaupun berdepan keperluan peraturan ketat, Public Gold berjaya memperoleh kelulusan melalui proses semakan teliti (due diligence) yang menyeluruh, model perniagaan yang telus, serta cadangan yang kukuh dan memenuhi piawaian Kyrgyzaltyn.

 

 

 

 

 

Kerjasama itu turut direalisasikan melalui penglibatan secara langsung dan sokongan daripada kepimpinan eksekutif Kyrgyzaltyn, yang mengiktiraf nilai dalam mengembangkan capaian global mereka melalui rakan kongsi terpilih yang berintegriti tinggi.

 

Selepas penilaian menyeluruh, pihak Kyrgyzaltyn dan pemegang sahamnya memberikan sokongan penuh, menandakan satu perubahan penting dalam dasar perdagangan emas bertapis negara tersebut.

 

 

Public Gold

 

Public Gold

 

 

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Group, Datuk Louis Ng berkata, pihaknya amat berbesar hati menjadi syarikat swasta Malaysia pertama yang diberi hak untuk memperoleh jongkong emas daripada Kyrgyzaltyn.

 

Beliau berkata, pencapaian itu merupakan bukti kepimpinan mereka dalam industri emas serta keyakinan yang diberikan oleh institusi utama di Republik Kyrgyz terhadap kumpulan itu.

 

"Kami komited sepenuhnya untuk mengekalkan standard integriti dan kecemerlangan yang tertinggi, yang telah memungkinkan terjalinnya kerjasama bermakna ini," katanya dalam satu kenyataan selepas memeterai perjanjian itu di ibu negara hari ini.

 

Majlis itu turut disaksikan Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Zhaparov; Ketua Jabatan Dasar Luar di Pentadbiran Presiden Republik Kyrgyz, Sagynbek Abdumutalip; Menteri Hal Ehwal Luar Republik Kyrgyz, Zheenbek Kulubayev; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan. 

 

Bagi kerjasama itu, Public Gold akan memperoleh sejumlah 300 kilogram jongkong emas Au 999.9 daripada Kyrgyzaltyn menjelang 31 Disember 2025, untuk pasaran antarabangsa.

 

Sebagai permulaan kerjasama, Public Gold telah melengkapkan pembelian pertama sebanyak 50 kilogram jongkong emas Au 999.9 daripada Kyrgyzaltyn pada Mei 2025.

 

 

Public Gold

 

 

Kyrgyzaltyn pada asalnya ditubuhkan sebagai Entiti Berkepentingan Negara pada 15 Oktober 1992, yang kemudiannya berubah menjadi sebuah syarikat berhad yang mengurus dan menyelia aset emas paling signifikan di negara itu, serta memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Republik Kyrgyz.

 

Kumpulan itu juga menghasilkan 80% daripada emas di Republik Kyrgyz dan juga merupakan pemilik Kilang Penapisan yang mempunyai status Good Delivery LBMA sejak 1999, yang menjalani audit tahunan yang ketat oleh Penyedia Jaminan LBMA.- DagangNews.com