KUALA LUMPUR 12 Mei – MK Land Holdings Berhad memaklumkan projek loji solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 29.99 megawatt (MW) di Mukim Padang Meha dekat Kulim, Kedah telah berjaya memperoleh pembiayaan penuh bagi membolehkan projek tersebut diteruskan ke fasa pelaksanaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pencapaian ini bermaksud semua keperluan pembiayaan projek telah dipenuhi melalui institusi kewangan yang mengesahkan kelangsungan pembangunan loji solar berkenaan.
Projek tersebut dibangunkan di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) melalui Citra Energies Sdn Bhd iaitu anak syarikat tidak langsung MK Land melalui Solar Citra Sdn Bhd.
TERKINI: TotalEnergies, MK Land peroleh pembiayaan projek ladang solar RM145 juta di Kedah daripada BNP Paribas
Dengan pembiayaan yang telah dimuktamadkan, projek kini berada pada fasa pembangunan penuh selepas struktur kewangan dan sokongan dana diperolehi sepenuhnya.
MK Land menjangkakan loji solar itu akan mula beroperasi menjelang akhir tahun 2027 selepas proses pembinaan dan pemasangan infrastruktur siap dilaksanakan.
Selepas beroperasi, projek ini akan menjana tenaga boleh diperbaharui yang dibekalkan kepada pelanggan korporat melalui mekanisme perjanjian pembelian kuasa maya (virtual power purchase agreement).
Syarikat turut memaklumkan bahawa bekalan tenaga tersebut telah disokong oleh kontrak jangka panjang selama 21 tahun bersama pelanggan korporat terpilih.
Kontrak jangka panjang itu dijangka menyediakan aliran pendapatan yang stabil kepada kumpulan sepanjang tempoh operasi loji solar berkenaan.
Pembangunan projek ini juga dilihat sejajar dengan usaha memperkukuh agenda tenaga hijau negara serta menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang lebih lestari.
Dengan pencapaian ini, MK Land terus mengukuhkan kedudukan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui yang semakin berkembang di Malaysia. - DagangNews.com








