Harga minyak sawit mentah diramal jatuh pada 3Q25, sektor perladangan kekal sederhana - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diramal jatuh pada 3Q25, sektor perladangan kekal sederhana - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Ogos — Sektor perladangan dijangka kekal dalam keadaan sederhana dengan harga minyak sawit mentah (MSM) diramal jatuh pada tempoh suku ketiga tahun ini, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut yang membuat liputan ke atas 13 syarikat berkata, harga MSM diunjur RM4,100 setiap tan pada 2025 berbanding ketika ini mencatatkan kira-kira RM4,341 setiap tan.

 

Bagaimanapun katanya, asas sektor berkenaan dilihat lebih seimbang pada masa sekarang dan mungkin berterusan sehingga tahun depan diimbangi situasi penyederhanaan harga MSM di pasaran global.

 

 

 

 

 

 

 

"Bekalan minyak makan di seluruh dunia dijangka pulih semula manakala trend permintaan akan kekal menyokong industri dengan harga MSM mungkin naik pada 4Q25," kata RHB Research dalam notanya.

 

Tambahnya, keputusan kewangan syarikat sektor perladangan pada 2Q25 sebahagian besarnya sejajar, kerana perolehan yang lebih kukuh dan di Malaysia, ia mendorong inventori minyak sawit meningkat.

 

Perkembangan itu turut diakui Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang dalam perangkaan terkini semalam melaporkan bekalan pada Julai 2025 ialah 2.11 juta tan, menjadikan stok melebihi purata sejarah.

 

Secara keseluruhannya, RHB Research menjangkakan suku kedua tahun ini 2Q25 akan menyaksikan tujuh syarikat merekodkan sebahagian besar pendapatan positif berdasarkan anggaran tahap pengeluaran.

 

"Penanam sepatutnya melihat pendapatan yang lebih tinggi pada 2Q25 kerana aliran keluaran tahun ke tahun sebenarnya meningkat lima peratus untuk saham di bawah liputan kami," kata firma itu.

 

 

 

 

 

 

Berdasarkan kepada perkembangan yang tidak menentu itu, ia mengekalkan penarafan 'neutral' ke atas sektor perladangan dengan enam syarikat di bawah liputannya diberikan saranan 'beli'.

 

Antara yang menjadi pilihan utama RHB Research ialah Johor Plantations Group, Sarawak Oil Palms, IOI Corp Berhad, London Sumtra Indonesia, SD Guthrie Berhad dan First Resources. - DagangNews.com