Columbia Asia Hospital Seremban bina blok baharu 13 tingkat, perkukuh akses kesihatan di Negeri Sembilan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Columbia Asia Hospital Seremban bina blok baharu 13 tingkat, perkukuh akses kesihatan di Negeri Sembilan

CHAN Boon Kheng (kiri) menyerahkan cenderamata bersempena majlis pecah tanah blok baharu Columbia Asia Hospital Seremban kepada Aminuddin Harun (kanan).
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Julai — Columbia Asia Hospital Seremban (CAH-S) bakal memiliki sebuah blok baharu setinggi 13 tingkat yang akan menyatukan bangunan sayap utara dan selatan hospital sedia ada.


Kumpulan tersebut berkata, premis berkenaan meliputi keluasan kira-kira 68,000 meter persegi dan meningkatkan kapasiti daripada 114 katil dan 32 buah klinik kepada 347 katil dan 100 buah klinik.


Kawasan itu tambahnya, turut menyediakan lebih 650 petak kereta demi keselesaan pelawat dan akan memperkukuh akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti untuk 1.2 juta penduduk Negeri Sembilan.

 

 

 

 


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Asia OneHealthcare, Dr Chan Boon Kheng berkata, inisiatif pelaburan itu mencerminkan komitmen mereka menyediakan perkhidmatan terbaik.


"Ia mudah diakses oleh komuniti Seremban dengan pembangunan pesat dalam lingkungan 15 kilometer yang meletakkan CAH-S sebagai hab terbaik pakar sehenti bagi rawatan tertiari lanjutan,” katanya.


Majlis pecah tanah pembinaan bangunan baharu itu disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan disaksikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.


Mengulas lanjut, Boon Kheng berkata, antara elemen utama pembangunan itu ialah penubuhan Pusat Onkologi, yang akan menawarkan perkhidmatan radioterapi dan kemoterapi di bawah satu bumbung.

 

cah-s

 

Fudzail

 

bas

 

 

CAH-S juga kata beliau, menempatkan Pusat Dialisis dilengkapi teknologi diagnostik pengimejan terkini untuk meningkatkan ketepatan dalam pengesanan dan perancangan rawatan penyakit kanser.


"Ditubuhkan pada 1999 sebagai salah sebuah hospital swasta terawal di Seremban, pembinaan blok baharu ini dijangka siap menjelang 2028, dan mula beroperasi sepenuhnya pada 2029," tambahnya. 


Dalam tempoh 25 tahun kata Boon Kheng, CAH-S telah berkembang daripada satu bangunan kepada dua sayap dengan 114 katil dan 60 pakar menandakan lonjakan besar dalam skala serta keupayaannya.


Hospital itu juga katanya, memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan penjagaan kesihatan penduduk Negeri Sembilan yang semakin berkembang dan meningkatkan perkhidmatan untuk Seremban.


Syarikat bertaraf antarabangsa yang ditubuhkan pada 1996 itu tambahnya, kekal teguh dalam misinya untuk meningkatkan standard penjagaan dengan perkhidmatan cekap dan selamat kepada para pesakit.


Sementara itu, Aminuddin ketika berucap pada majlis itu berkata, perluasan fasiliti CAH-S amat tepat dalam usaha menyokong matlamat peningkatan taraf kesihatan terbaik ke atas rakyat Negeri Sembilan.


"Saya amat yakin dengan tambahan bangunan ini, warga dalam dan luar Seremban meraih manfaat menerusi perkhidmatan bermutu tinggi pada kos rendah dan berpatutan," kata beliau. - DagangNews.com