KUALA LUMPUR 13 Feb - Sebarang perubahan mendadak terhadap model rangkaian borong tunggal (SWN) mungkin akan memberi kesan negatif dari segi kewangan mahupun undang-undang kepada Digital Nasional (DNB) berikutan pembatalan kontraknya dengan Ericsson.
Malah, penganalisis AmInvestment Bank Research, Muhammad Afif Zulkaplly berkata, tindakan itu juga akan menjejaskan jadual pelan pelancaran 5G negara.
Kajian semula kerajaan terhadap struktur pelancaran SWN 5G akan dibuat pada penghujung suku pertama 2023.
"Walaupun terdapat spekulasi mengenai potensi perubahan yang boleh berlaku, kami percaya struktur semasa berkemungkinan akan terus menjadi senario kes asas," katanya dalam nota kajian hari ini.
Menurut beliau, pengenalan pembekal rangkaian borong kedua juga mungkin membawa kepada ketidakmampanan model perniagaan DNB yang bergantung pada langganan pengendali rangkaian mudah alih (MNO).
Memandangkan potensi manfaat pengganda ekonomi jangka panjang daripada pelancaran 5G, beliau percaya cadangan yang diterajui bekalan akan terus menjadi pilihan daripada perspektif kerajaan kerana peralihan ke arah struktur yang diterajui permintaan akan menangguhkan pelancaran.
"Selain itu, mengambil iktibar daripada keputusan berkaitan dasar sejak beberapa bulan lalu, kami perhatikan bahawa kerajaan perpaduan telah menggunakan pendekatan yang agak kurang radikal dalam membuat perubahan dasar berbanding tempoh 2018 hingga 2020 ketika Pakatan Harapan mentadbir negara.
"Walaupun memperkenalkan pembekal peralatan kedua kepada DNB adalah satu lagi kemungkinan, jumlah penjimatan yang boleh diperoleh daripada ini masih belum jelas pada peringkat ini," jelasnya.
DNB, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik kerajaan untuk membangunkan teknologi 5G, komited mempercepat jadual melancarkan liputan 5G kepada 80 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2024.
Pada Januari lalu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, dasar pelaksanaan 5G oleh DNB akan dibentangkan di Kabinet sebelum akhir suku pertama tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi DNB, Nasution Mohamed sebelum ini berkata, pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara telah mencapai hampir 50% di kawasan berpenduduk pada akhir 2022, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 40%.
Muhammad Afif berkata, langganan ekuiti DNB oleh syarikat telekomunikasi juga mungkin ditangguhkan kerana kerajaan sedang mengkaji semula struktur tadbir urus model SWN.
"Dengan mengandaikan semakan semula boleh dimuktamadkan pada akhir Mac dan tiada perubahan besar pada struktur SWN, aliran keluar tunai berikutan penyertaan ekuiti mungkin akan direkodkan oleh syarikat telekomunikasi pada suku kedua 2023," katanya.
Namun, menurutnya, di sebalik semakan yang masih berjalan, ia tidak menghentikan 5 MNO yang telah menandatangani perjanjian akses dengan DNB pada Oktober lalu untuk menawarkan perkhidmatan 5G.
Syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian iaitu Celcom, Digi, YES, Unifi Mobile dan U-Mobile yang melanggan pelan terpilih memperkenalkan kelajuan 5G pertama mereka pada November lalu tanpa sebarang caj tambahan.
"Walaupun masih tidak jelas bagaimana MNO akan menjana kewangan daripada tawaran 5G, pelaksanaannya akan membawa kepada penggunaan data yang lebih tinggi dan menggalakkan pengguna untuk memilih pakej yang lebih mahal," jelasnya.
Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi memandangkan perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi daripada caj kapasiti borong tahunan tetap 5G DNB pada syarikat telekomunikasi akan lebih daripada mengimbangi permintaan data yang meningkat.
Ini akan mengurangkan persaingan daripada penggabungan dua operator selular utama di tengah-tengah prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan boleh menjejaskan kemampuan pelanggan. - DagangNews.com








