Pertumbuhan pinjaman industri menyederhana kepada 4.4% pada Jun 2023 akibat kelemahan pinjaman bukan isi rumah - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan pinjaman industri menyederhana kepada 4.4% pada Jun 2023 akibat kelemahan pinjaman bukan isi rumah - AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Pertumbuhan pinjaman industri menyederhana kepada 4.4% pada Jun 2023 berbanding 4.8% pada Mei disebabkan kelemahan dalam pinjaman bukan isi rumah.

 

AmInvestment Bank Research berkata, penyusutan itu adalah selaras dengan unjuran pertumbuhan pinjaman antara 4% hingga 5% bagi sektor perbankan.

 

Katanya, pertumbuhan pinjaman isi rumah merosot sedikit kepada 5.3% pada Jun 2023 berbanding 5.4% pada Mei.

 

"Pada Jun 2023, pengembangan kredit untuk pembelian sekuriti, kenderaan penumpang dan pinjaman tertunggak dalam kad kredit menjadi perlahan.

 

"Sementara itu, pertumbuhan pinjaman untuk pembelian hartanah kediaman dan pembiayaan peribadi terus bertahan manakala pinjaman modal kerja berkembang pada kadar yang lebih perlahan kepada 1.7%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Pinjaman terjejas industri menyusut sebanyak 2.2% dari bulan ke bulan atau RM797 juta pada Jun 2023.

 

Sebahagian besarnya didorong oleh penurunan dalam rosot nilai pinjaman kepada sektor pertanian, perlombongan, kuari, pembuatan, pembinaan dan isi rumah.

 

"Nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) kekal stabil pada 1.8% pada Jun 2023 manakala nisbah pijaman terjejas bersih (NIL) dikekalkan pada 1.1%.

 

"Perlindungan kerugian pinjaman (LLC) sektor merosot kepada 91.8% pada Jun 2023 (Mei 2023: 93.2%), disebabkan oleh penurunan dalam peruntukan," katanya.

 

AmInvestment mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor itu dan saranan 'beli' terhadap RHB Bank (FV: RM6.80) dan CIMB Group (FV: RM6.70). - DagangNews.com