KUALA LUMPUR 27 Ogos - Kementerian Pertahanan (Mindef) seharusnya mula merancang untuk memutuskan penggantian kapal-kapal serang laju (FAC) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) susulan insiden karam KD Pendekar.
Walaupun perlu mengambil kira implikasi kewangan negara bagi pembelian besar ini tetapi lambat atau cepat, penggantian tetap perlu dilakukan apabila tiba masanya.
Persoalan kini timbul dalam kalangan pemerhati pertahanan tempatan berhubung apa nasib lain-lain FAC yang jumlahnya besar sebagai kapal ronda TLDM.
Mindef sebelum ini memberitahu akan membuat pemeriksaan terhadap satu pertiga atau kira-kira 10 hingga 15 kapal TLDM yang berusia lebih 40 tahun bagi memastikan aset itu berada dalam keadaan baik susulan insiden tersebut.

Pada masa sama kementerian itu akan menunggu laporan siasatan berhubung insiden berkenaan.
Selain penggantian, opsyen Mindef ialah melakukan program penyelenggaraan secara refit dan re-hull seperti yang dilakukan pada kapal KD Perkasa dan KD Laksamana Muhammad Amin.
Ini boleh dilakukan oleh beberapa limbungan perkapalan tempatan.
Bagaimana pun, penyelenggaraan penuh ini masih bersifat sementara untuk memanjangkan jangka hayat kapal-kapal uzur yang mana ia berbeza berbanding mengoperasikan kapal baharu.
Mungkin langkah yang boleh diambil ialah menggantikan sebahagian FAC manakala selebihnya dilakukan proses refit.


Ini kerana tempoh masa bagi membina kapal baharu dan melakukan penyelenggaraan refit hampir sama iaitu antara 2 hingga 3 tahun.
Sekiranya Mindef memilih untuk menggantikan kapal-kapal FAC, adalah lebih sesuai sekiranya model sedia ada kapal misi pesisir (LMS) TLDM kelas Keris buatan China diberi pertimbangan.
Walaupun ini hanya cadangan tetapi ia mengambil kira kemampuan limbungan perkapalan China untuk membina kapal dengan cepat mengikut jadual.
Sebagai gergasi ketenteraan, China juga menguasai kira-kira 40 peratus industri pembuatan kapal di dunia termasuk kapal-kapal perang.
Pembelian kapal LMS ini dilaksanakan di bawah kontrak Mindef kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd yang ditandatangani pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co. Ltd. (CSOC), China pada harga RM1.17 bilion.


Projek pembinaan kapal-kapal ini dimulakan pada tahun 2019 dan siap sepenuhnya pada Disember 2021 dengan penyerahan kapal terakhir iaitu KD Rencong.
Pembelian LMS adalah salah satu daripada lima kelas kapal dalam Program Transformasi Armada 15to5 TLDM.
Mengikut pelan asal dua dibina di China manakala dua lagi dibina Malaysia oleh syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS).
Bagaimana pun, rancangan ditukar apabila kesemua kapal dibina di Wuhan, China oleh Wuhang Shipbuilding Industrial Group.

LMS kelas Keris mempunyai panjang keseluruhan 68.8 meter (m) dengan berat 700 tan pada boleh mencapai kelajuan sehingga 22 knot dan belayar sejauh 2,000 batu nautika.
Persenjataan utama kapal ialah meriam CS/AN3 30 dan dua laras mesingan berat CS/LM6 12.7mm.
Kapal peronda pantai ini adalah konsep modular yang mampu dikonfigurasikan untuk misi tertentu bergantung kepada keperluan.
Membiarkan lebih lama kapal-kapal FAC yang berusia antara 45 hingga 51 tahun ini mempunyai risiko tersendiri sekiranya kita tidak mahu insiden kedua KD Pendekar berulang. - DagangNews.com








