Pertama Digital kini entiti tempatan sepenuhnya dengan peletakan jawatan pengarah asing di China | DagangNews Skip to main content

Pertama Digital kini entiti tempatan sepenuhnya dengan peletakan jawatan pengarah asing di China

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 26 Sept - Pertama Digital Bhd. mengesahkan peletakan jawatan pengarah asing yang berpangkalan di China, Pan Ding dan Pan Dong daripada Lembaga Pengarah berkuat kuasa 22 September 2022. 

 

Bagaimanapun, kumpulan itu menjelaskan tindakan tersebut tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengan Lembaga Pengarah dan mereka tidak mempunyai perkara lanjut untuk dibawa kepada perhatian para pemegang saham.

 

Pertama Digital sebelum ini pada Ogos 2022 menerima undian sokongan yang menggalakkan daripada pemegang sahamnya untuk penjualan keseluruhan kepentingan ekuitinya dalam anak syarikat tekstilnya yang berpangkalan di China, BeTop Group Limited pada harga RM70 juta.

 

Dengan proses peralihan pemilikan dan pengurusan kini sudah lengkap, Pertama Digital akan bergerak ke hadapan sebagai syarikat senaraian awam dimiliki dan dikendalikan oleh majoriti tempatan sepenuhnya di Bursa Malaysia.

 

 

Saify Akhtar
Saify Akhtar

 

 

Pengarah Strategi Pertama Digital, Saify Akhtar berkata, kumpulan kini terus komited dan fokus untuk membina Pertama Digital baharu, diperkukuhkan dengan watak korporat yang kukuh dan dilengkapi dengan kekuatan operasi utama.

 

Katanya, kumpulan akan menunaikan janjinya untuk mengubah pendekatan oleh agensi kerajaan dan perniagaan dalam menyampaikan penyelesaian digital yang penting kepada orang ramai.

 

"Kami akan terus menyediakan penyelesaian dan perkhidmatan digital yang pantas, kemas dan perlu pada model hasil bayar untuk prestasi dengan agensi dan syarikat tempatan serta mengunapakai ia kepada pasaran baharu muncul lain seperti Indonesia, Bangladesh dan Nigeria", katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Secara dasarnya, Pertama Digital sedang melaksanakan perancangan bagi mengukuhkan lagi komposisi Lembaga Pengarah untuk menjadi peserta perkhidmatan digital yang sebenar. 

 

Sebahagian daripada rancangan korporat baharu dan dipertingkatkan adalah untuk klasifikasi semula sebagai syarikat perniagaan digital dan patuh syariah bagi menarik peluang perniagaan baharu daripada rakan kongsi dan minat perniagaan tempatan serta antarabangsa.

 

Kumpulan baru-baru ini melantik Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani sebagai Pengarah dan Ahli Lembaga Pengarahnya, yang merupakan Pengerusi dan Rakan Kongsi Kanan Zaid Ibrahim & Co., ahli sebuah firma undang-undang ZICO Law. 

 

Pelantikan sedemikian bersama-sama Pengarah sedia ada kumpulan akan memperkemaskan barisan Lembaga Pengarah yang kukuh dan berwibawa ketika syarikat membuka laluannya menuju ke hadapan.

 

Pertama Digital juga akan bergerak aktif untuk melaksanakan pengambilalihan dalam sektor teknologi kerajaan terus menjadi kepentingan utama serta mencapai kemajuan dalam pembentukan 'neobank' pertama Malaysia dengan kerjasama bank sedia ada.

 

Sebagai sebahagian daripada fokusnya untuk menyediakan penyelesaian digital untuk rakyat, kumpulan semalam melancarkan kempen kesedaran Perlindungan Tenang untuk meningkatkan langganan kumpulan B40 bagi skim perlindungan yang diperkenalkan oleh kerajaan. - DagangNews.com