Perolehan terkini Kerjaya Prospek penuhi unjuran RHB Research bagi nilai kontrak FY23 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perolehan terkini Kerjaya Prospek penuhi unjuran RHB Research bagi nilai kontrak FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Feb - RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Kerjaya Prospek Group Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.44 sesaham selepas kumpulan itu meraih kontrak pembangunan Seri Tanjung Pinang (STP) bernilai RM398 juta. 

 

Menurutnya, perolehan terkini itu menjadikan nilai kontrak kumpulan kepada RM4.7 bilion, manakala perolehan terkini bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) sebanyak RM533.4 juta. 

 

"Jika kami mengambil kira 49% bahagian daripada kontrak Pembangunan BBCC yang baru dimenangi bernilai RM66 juta (bukan jumlah nilai kontrak RM135 juta), perolehan terkini kumpulan bagi FY23 berjumlah RM464 juta (iaitu 35.7% daripada andaian penambahan RM1.3 bilion untuk FY23).

 

"Margin keuntungan selepas cukai bagi projek ini dianggarkan sekitar 8 hingga 12%, sejajar dengan projek pembinaan biasa Kerjaya Prospek," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Kontrak terkini itu melibatkan Fasa 2B dan 2C projek tebus guna STP di Tanjung Tokong, Pulau Pinang yang akan bermula 10 April ini selama 36 bulan. 

 

Ia dianugerahkan oleh Tanjung Pinang Development Sdn Bhd (TPD), anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd (E&O). TPD memegang hak konsesi untuk kedua-dua fasa projek tebus guna STP.

 

Kerjaya Prospek sebelum ini telah menerima beberapa kontrak dalam projek STP. Ini termasuk kontrak 40 bulan bernilai RM154.4 juta untuk membina struktur perlindungan pantai sementara bagi Fasa 2B dan 2C projek penambakan, yang telah diberikan pada September 2020.

 

Secara keseluruhan, RHB Research berkata, kontrak STP2 itu adalah sejajar dengan anggaran penambahan kontrak bernilai RM1.3 bilion bagi FY23.

 

Setakat 11.09 pagi, harga saham Kerjaya Prospek menokok 1 sen atau 0.82% kepada RM1.23 dengan 206,700 saham diniagakan. - DagangNews.com