Permintaan domestik kekal pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara - UOB Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan domestik kekal pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara - UOB Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Feb - UOB Malaysia menjangkakan kewangan Amerika Syarikat (AS), pasaran Asia-China dan penjagaan kesihatan global akan menyediakan peluang pelaburan dalam persekitaran tidak menentu pada 2023. 

 

Kemerosotan pasaran pada 2022 dijangka berterusan sepanjang tahun pada tahap awalnya apabila pelabur mempertimbangkan potensi risiko kemelesetan, trend inflasi dan hala tuju dasar monetari bank pusat global. 

 

Dengan menilai semula ketegangan geopolitik, pembukaan semula ekonomi China pasca COVID-19, dan pengetatan yang semakin perlahan oleh bank pusat global, permulaan yang suram mungkin akan mula cerah, menghasilkan kemelesetan yang kemungkinannya singkat tetapi cetek pada 2023.

 

Bagi Malaysia, Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perkhidmatan Kewangan Peribadi UOB Malaysia, Ronnie Lim berkata, permintaan luar jangkaan akan menyederhana seiring dengan pertumbuhan global yang perlahan.

 

Menurutnya, permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama ekonomi negara memandangkan perbelanjaan isi rumah disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan jangkaan aktiviti pelancongan yang lebih tinggi.

 

“Pelaburan akan disokong oleh projek infrastruktur dan persekitaran domestik yang lebih baik untuk menarik pelaburan langsung asing,” katanya.

 

Usaha pengembangan aktiviti pendigitalan, kemampanan dan penyahkarbonan pula akan memacu bidang pertumbuhan baharu, di mana ekonomi negara tidak terjejas walaupun terdapat ketidaktentuan yang meningkat dalam pasaran kewangan global dan mata wang tempatan disebabkan kecairan domestik dan fungsi pasaran domestik yang kekal stabil.

 

Menurut Ronnie, faktor pendorong sedemikian, disokong oleh asas yang kukuh, akan terus membantu ekonomi negara bertahan daripada ketidaktentuan yang bakal dihadapi pada tahun ini.

 

“Potensi risiko menurun ke atas prospek pertumbuhan Malaysia boleh berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, pengelakan risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global, ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, ketidaktentuan harga komoditi, gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan risiko berkaitan iklim,” tambahnya.

 

Beliau juga melihat sokongan berterusan terhadap polisi dan pembentangan semula Bajet 2023 serta dasar monetari yang akomodatif akan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

 

Sementara itu, melihat prestasi indeks global kemelesetan, pelabur runcit disarankan untuk memberi tumpuan pada jangka panjang dengan pendekatan ‘risiko dahulu’, atas asas pelaburan berdasarkan risiko pelabur sebelum mempertimbangkan pulangan.

 

“Daripada menunggu berlakunya pengukuhan pasaran, pelabur digalakkan untuk kekal bertahan dan membina pelaburan teras supaya berada pada kedudukan baik untuk menghadapi pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan dan turun naik berterusan dalam pasaran saham yang memasuki kemelesetan,” ujar beliau.

 

Untuk pasaran Asia pula, momentum saham mungkin meningkat apabila pembukaan semula ekonomi diteruskan dan apabila ekonomi seperti China mengamalkan dasar sokongan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi.

 

“Kelas pertengahan Asia yang semakin berkembang dilihat sebagai pemacu trend dan perbelanjaan pengguna global, justeru, mewujudkan prospek untuk syarikat domestik dan asing meraih manfaat daripadanya.

 

“Tambahan lagi, urbanisasi dan pendigitalan kekal sebagai pemacu utama bagi penggunaan domestik yang mampan. Ini akan memastikan pertumbuhan Asia kurang bergantung kepada pertumbuhan ekonomi pasaran maju,” katanya. – DagangNews.com