Permintaan cip semikonduktor, harga minyak dijangka kukuhkan prestasi DNeX pada separuh kedua | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan cip semikonduktor, harga minyak dijangka kukuhkan prestasi DNeX pada separuh kedua

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Feb - Permintaan kukuh bagi cip semikonduktor dan harga purata minyak mentah yang lebih tinggi dijangka terus menyokong prestasi Dagang NeXchange Bhd. (DNex) bagi separuh kedua tahun kewangan 2022 (2HFY22), menurut CGS-CIMB Research.

 

Penganalisisnya, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, DNeX diunjur merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 453% bagi pendapatan sesaham (EPS) teras bagi tempoh FY21 hingga FY24.

 

Katanya, ini dipacu dengan kenaikan harga jualan purata (ASP) wafer dan jumlah pengeluaran wafer yang lebih baik berikutan pengembangan kapasiti baharu. 

 

"Selain itu, prestasi DNeX juga didorong oleh harga purata minyak mentah yang lebih tinggi menerusi anak syarikatnya, Ping Petroleum dan pengeluarannya yang lebih tinggi. 

 

"Kami juga mendapati SilTerra masih merekodkan pertumbuhan jualan yang kukuh bagi suku ke suku pada suku kedua berakhir 31 Disember 2021 walaupun kerja-kerja pencegahan penyelenggaraan tahun berjalan selama seminggu pada Oktober lalu," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, menurutnya, anggaran tersebut belum mengambil sumbangan menerusi platform teknologi baharu seperti silikon fotonik dan pengkomersialan medan minyak Avalon (Ping Petroleum).

 

Pada suku kedua berakhir 31 Disember 2021, DNeX merekodkan untung bersih sebanyak RM43.83 juta dengan pendapatan berjumlah RM353.31 juta.

 

Tiada angka perbandingan bagi suku tersebut kerana kumpulan menukar akhir tahun kewangannya kepada 30 Jun dari 30 Disember.

 

Bagi tempoh 6 bulan, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM337.39 juta manakala pendapatan berjumlah RM624.18 juta. 

 

Untuk asas suku ke suku, menyaksikan DNeX melaporkan keuntungan operasi sebanyak RM75.94 juta dengan peningkatan RM42.63 juta berbanding suku sebelumnya sebanyak RM33.31 juta.

 

Mohd. Shanaz bekata, prestasi bagi tempoh 6 bulan itu adalah sejajar dengan unjurannya dan konsensus masing-masing merangkumi 51% dan 52% daripada anggaran untung bersih bagi FY22.

 

"Kami juga menjangkakan peningkatan ASP secara berterusan pada separuh kedua ini, susulan kekangan kapasiti wafer 200mm dalam pasaran dan potensi perjanjian baharu jangka panjang dengan ASP yang lebih tinggi," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, CGS-CIMB mengulangi penarafan saham DNeX dengan saranan 'tambah' pada harga sasaran RM1.60. 

 

Setakat 9.20 pagi ini, harga sahamnya menokok 1 sen atau 0.87% kepada RM1.16 dengan 3.96 juta saham diniagakan. - DagangNews.com