Perjanjian operasi baharu beri fleksibiliti kepada MAHB kendalikan lapangan terbang dengan lebih efisien | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perjanjian operasi baharu beri fleksibiliti kepada MAHB kendalikan lapangan terbang dengan lebih efisien

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Feb - Perjanjian operasi (OA) baharu membolehkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengendalikan lapangan terbang di peringkat tempatan dan antarabangsa dengan lebih efisien. 

 

Pengarah Urusannya, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, perjanjian itu memberi MAHB fleksibiliti untuk melabur dan membuat pelaburan semula dalam pemodenan dan pembangunan lapangan terbang yang berdaya maju di bawah syarat komersial yang adil dan kondusif dengan mekanisme pulangan pelaburan yang jelas

 

Malah, katanya, OA 2023 itu mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan dan pengalaman MAHB dalam pengurusan lapangan terbang.

 

"Perjanjian ini akan memastikan kemampanan komersial dan memudahkan pertumbuhan lapangan terbang negara, justeru, akan berfungsi sebagai tuil pembangunan ekonomi yang penting bagi negara.

 

“Kami akan dapat meneruskan operasi lapangan terbang dan STOLports untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

 

"Pada masa sama, ia juga meningkatkan kapasiti lapangan terbang jika perlu dan menyediakan tahap perkhidmatan lapangan terbang yang lebih baik secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pagi ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan kerajaan dan MAHB akan memuktamadkan dan menandatangani OA 2023 dan Perjanjian Pajakan yang berkaitan sebelum penghujung suku pertama 2023 (31 Mac).

 

 

iskandar mizal
Iskandar Mizal Mahmood

 

 

MAHB mendapat kelulusan pada dasar daripada kerajaan melalui keputusan kabinet pada 2 Februari lalu untuk terma material OA bagi pengendalian, pengurusan, penyelenggaraan dan pembangunan 39 lapangan terbang dan STOL ports sehingga 2069.

 

Di bawah perjanjian tersebut, empat terma telah ditetapkan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak MAHB dan kerajaan.

 

Menurut makluman MAHB, syarikat itu dan kerajaan mempunyai fleksibiliti dalam kaedah membiayai kos pembangunan lapangan terbang sama ada menggunakan peruntukan kerajaan melalui perbelanjaan pembangunan (DE) atau MAHB menerusi sebarang mekanisme model pemulihan pelaburan yang sesuai.

 

Perkara ini tertakluk kepada persetujuan bersama kedua-dua pihak dengan kos purata wajaran modal (WACC) yang akan ditentukan hanya apabila sesuatu projek akan dilaksanakan dan tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

 

Sementara itu, penubuhan Dana Pembangunan Lapangan Terbang (ADF) hanya akan menerima sumbangan daripada pengguna lapangan terbang, orang awam dan juga syarikat penerbangan dan bukan daripada dana kerajaan.

 

 

KLIA

 

 

Seterusnya, 50% daripada komponen caj perkhidmatan penumpang (PSC) dalam pengiraan yuran pengguna akan disalurkan ke akaun amanah ADF. 

 

Peratusan PSC atau komponen lain dalam yuran pengguna yang akan disumbangkan kepada akaun ADF akan disemak setiap tiga tahun.

 

Perjanjian itu juga memberi hak kepada kerajaan untuk menyusun semula industri lapangan terbang melalui kluster, pembentukan, pelupusan lapangan terbang, penutupan lapangan terbang atau terminal sedia ada atau penstrukturan semula pemilikan mana-mana kemudahan tertakluk kepada persetujuan bersama dengan MAHB.

 

Iskandar Mizal menambah kerajaan juga telah meluluskan cadangan strategik MAHB untuk menjenamakan semula KLIA dan klia2 kepada KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2.

 

“Ini akan membenarkan kami untuk memasarkan perkhidmatan lapangan terbang dengan lebih berkesan sekali gus mengukuhkan kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebagai hab serantau,” tambahnya. – DagangNews.com