Perjanjian OA baharu beri pendapatan jangka panjang yang positif kepada MAHB - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perjanjian OA baharu beri pendapatan jangka panjang yang positif kepada MAHB - Maybank IB

MAHB dijangka kembali pulang modal pada suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. - Gambar : Facebook MAHB
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Feb - Maybank Investment Bank (IB) menjangkakan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan mencatat pulang modal pada suku keempat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan bersedia kembali untung pada suku berikutnya.

 

Namun, firma itu berpendapat peningkatan lebih tinggi daripada trafik penumpang antarabangsa yang lebih tinggi daripada jangkaan untuk operasinya di Malaysia mungkin tidak akan berlaku.

 

"Memandangkan penumpang antarabangsa pada suku keempat kembali pulih pada suku keempat dengan meningkat 36% suku ke suku, kami menjangkakan MAHB akan mencatat pulang modal pada suku berkenaan.

 

"Malah, kami sering ditanya sama ada terdapat peningkatan pada ramalan trafik antarabangsa bagi FY24, tetapi kami mendapati bahawa tidak akan banyak peningkatan," katanya dalam nota kajian.

 

Firma itu mendapati AirAsia X, Malaysia Airlines dan Batik Air Malaysia telah mengurangkan saiz pesawat selepas COVID-19 dan tidak bercadang untuk meningkatkannya semula secara agresif.

 

Buat masa ini, hanya MYAirline bercadang untuk mengembangkan saiz armada tetapi lebih memberi tumpuan kepada laluan domestik dengan hasil rendah.

 

Dalam pada itu, menurut Maybank IB, perjanjian operasi (OA) antara kerajaan dan MAHB akan memberi pendapatan jangka panjang yang positif untuk operator lapangan terbang itu.

 

Pagi ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan kerajaan dan MAHB akan memuktamadkan dan menandatangani OA 2023 dan Perjanjian Pajakan yang berkaitan sebelum penghujung suku pertama 2023 (31 Mac).

 

Setakat 12.15 tengah hari, harga saham MAHB menokok 1 sen atau 0.14% kepada RM7.10 dengan 293,400 saham diniagakan. - DagangNews.com