Penyerahan OPV 1 APMM ditunda lagi, kapal sepatutnya diserahkan 27 Nov tetapi gagal dilakukan | DagangNews Skip to main content

Penyerahan OPV 1 APMM ditunda lagi, kapal sepatutnya diserahkan 27 Nov tetapi gagal dilakukan

OPV APMM semasa melakukan ujian pelayaran.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 28 Nov - Penyerahan kapal ronda pesisir pertama (OPV 1) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang sepatutnya dibuat semalam telah ditangguhkan lagi.

 

Bagaimana pun, tiada sebarang maklumat sama ada daripada pihak APMM, syarikat pembinanya TH Heavy Engineering atau Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penangguhan tersebut.

 

Sebelum ini, tarikh penyerahan kapal pada 27 November sepertimana disebut Ketua Pengarah APMM, Laksamana (Maritim) Datuk Hamid Mohd Amin semasa di Kuching, Sarawak awal bulan ini.

 

Nampaknya, semua tarikh yang diumumkan pihak terbabit untuk penyerahan OPV 1 yang telah ditetapkan pada tahun ini gagal ditepati.

 

Kapal

 

Sebelum ini, tiga kali penangguhan berlaku iaitu sepatutnya pada Mac, kemudian Julai sebelum ditangguhkan lagi pada November.

 

Memandangkan OPV 1 siap sepenuhnya dan telah pun menjalani ujian di laut, maka kemungkinan kapal diserahkan pada bulan hadapan jika tidak mahu dilanjutkan lagi.

 

Disebabkan penangguhan demi penangguhan yang berlaku, umum memberikan pandangan negatif pada kebolehan syarikat tempatan untuk menyiapkan kontrak yang dianugerahkan kerajaan.

 

Ini berdasarkan bagaimana THHE dilihat sangat bergelut untuk menyiapkan OPV 1 sejak dua tahun lalu.

 

Kapal

 

Walaupun tiga kerajaan telah bertukar sejak 2019, projek OPV APMM ini berdepan dengan pelbagai isu dan masalah yang mana sepanjang tempoh itu pelbagai usaha diambil.

 

Jika mengikut kontrak asal yang mana OPV 1 sepatutnya diserahkan pada tahun 2020 setelah kontrak dianugerahkan pada 2017.

 

Sebenarnya, bukan Malaysia sahaja yang memutuskan membina kapal peronda dalam negara untuk agensi maritim kerana perkara sama juga dilakukan jiran serantau Indonesia dan Vietnam.

 

Dua negara jiran ini bagaimana pun tidak berhadapan masalah untuk menyiapkan kapal masing-masing yang dibina dalam negara sepenuhnya.

 

Sepertimana diketahui umum, projek OPV 1 telah diambil alih oleh kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) daripada TH Heavy Engineering (THHE) pada Januari selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.

 

MOF terpaksa menyuntik pinjaman RM152.6 juta menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan tahun ini

 

Pada masa sama, timbul keraguan tentang status dua kapal berikutnya iaitu OPV 2 dan OPV 3.

 

Jika rekod pembinaan OPV 1 dijadikan contoh, kebarangkalian pembinaan dua kapal berkenaan juga bakal melalui jalan sukar.

 

Sekiranya benar, mungkin APMM terpaksa berpuas hati dengan hanya sebuah kapal sahaja buat masa ini sebelum menanti dua kapal seterusnya yang entah bila disiapkan. - DagangNews.com