Penurunan ASP sarung tangan getah terus 'tekan' prospek Kossan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penurunan ASP sarung tangan getah terus 'tekan' prospek Kossan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 27 Julai - Harga jualan purata (ASP) sarung tangan getah dijangka terus menurun kepada paras di bawah sebelum pandemik COVID-19 sementara menantikan permintaan bekalan kembali kepada normal.

 

Ini mendorong MIDF Research menyemak turun harga sasaran Kossan Rubber Industries Bhd. kepada RM1.28 daripada RM1.34 sesaham sebelum ini dengan pandangan 'neutral' dikekalkan berikutan prospek hasilnya yang dilihat terus suram.

 

Menurutnya, situasi tersebut berlaku disebabkan lebihan stok dalam industri berikutan persaingan sengit daripada pembuat sarung tangan getah China, pemasangan kapasiti yang agresif daripada pemain sedia ada dan baharu serta perjanjian pelanggan yang lebih rendah.

 

"Kami percaya harga dan pemampatan margin akan berterusan pada separuh kedua 2022 memandangkan permintaan yang berkurangan daripada pelanggan disebabkan lebihan stok dan pelarasan inventori.

 

"Bagaimanapun, kedudukan tunai bersih Kossan, yang terdiri daripada 75.4% daripada permodalan pasarannya, dilihat boleh melindunginya daripada ketidaktentuan pasaran," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Untung bersih Kossan pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 susut 95.6% kepada RM45.99 juta berbanding RM1.06 bilion setahun yang lepas.

 

Ini seiring dengan hasil yang rendah sebanyak RM589.86 juta berbanding RM2.24 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya susulan penurunan hasil daripada sarung tangan, produk getah teknikal dan bahagian bilik bersih.

 

Pengeluar sarung tangan getah itu merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan tidak terkawal (PATANCI) teras sebanyak RM137.1 juta, yang mana ia di bawah unjuran MIDF Research tetapi berada dalam jangkaan konsensus.

 

"Ia merangkumi 41.9% daripada anggaran kami dan 46.5% konsensus bagi tahun penuh. Ini disebabkan oleh penurunan yang lebih cepat daripada jangkaan dalam ASP beserta kos input yang lebih tinggi daripada jangkaan," jelasnya.

 

Susulan itu, firma tersebut menyemak turun unjuran PATANCI teras bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY23 masing-masing sebanyak 13.4% dan 15.7% kepada RM283.5 juta dan RM281.7 juta. 

 

Semakan itu menggambarkan pemampatan margin dengan lebih baik selepas mengambil kira ASP yang lebih rendah dan kos input lebih tinggi.

 

"Namun, kami menaikkan unjuran hasil FY24 sebanyak 10.5% kepada RM284.8 juta berikutan harga bahan mentah yang lebih stabil," katanya.

 

Setakat 9.06 pagi ini, harga saham Kossan menokok 1 sen atau 0.75% kepada RM1.34 dengan 743,300 saham diniagakan. - DagangNews.com