KUALA LUMPUR 28 April - Langganan bagi perkhidmatan 5G di negara ini dijangka mengambil masa memandangkan ia kurang menarik kepada pengguna, demikian menurut RHB Research.
Ini kerana menurut penganalisisnya, Jeffrey Tan, rangkaian 4G ketika ini dilihat sudah memadai bagi memenuhi kehendak sebahagian besar pengguna.
Beliau berpendapat, syarikat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) berkemungkinan menarik pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan 5G pelengkap buat sementara waktu atau mengenakan bayaran nominal dengan beberapa tawaran menarik.
"Kami melihat usaha MNO untuk mendapatkan penguasaan pasaran sebagai fokus utama dengan pengewangan yang tersekat oleh persaingan pasaran, ditambah dengan tawaran data yang masih agresif.
"Bagaimanapun, secara keseluruhan, kami menjangkakan hasil perkhidmatan mudah alih akan berkembang antara 2 hingga 3% tahun ini berbanding 1.3% pada 2021, terutamanya didorong oleh pembukaan semula ekonomi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi buat masa ini.

Menurut Tan, harga saham syarikat telekomunikasi telah menurun antara 2 hingga 21% setakat ini berikutan ketidaktentuan daripada dasar 5G negara, kelemahan pasaran yang lebih meluas dan kebimbangan terhadap prospek pendapatan dalam masa terdekat.
"Hasil bagi sektor ini dijangka susut 8% bagi tahun kewangan 2022 (FY22) berbanding 11.3% pada tahun sebelumnya, memandangkan pemulihan hasil akan diimbangi dengan impak Cukai Makmur dan tekanan ke atas margin," tambahnya.
Beliau berkata, walaupun terdapat cabaran untuk 'memaksa' MNO menandatangani perjanjian komersial borong bagi pelaksanaan 5G, tetapi ia adalah tidak mustahil.
Jelasnya, berdasarkan perbincangan sejak akhir-akhir ini, didapati wujud situasi mendesak yang lebih besar dan keyakinan MNO untuk terlibat sama.
Mengulas lebih lanjut, katanya, penjualan sehingga 70% kepentingan dalam Digital Nasional Bhd. (DNB) adalah penting untuk dimuktamadkan secepat mungkin bagi mengelakkan kelewatan dalam pelancaran rangkaian 5G.
Bagaimanapun, beliau mendapati masih kurang maklumat terperinci mengenai penjualan ekuiti ini, terutamanya bagaimana pegangan ini akan diagihkan dalam kalangan MNO atau pemegang spektrum, dan jika MNO yang lebih besar memiliki kelebihan dengan mengambil kira penguasaan yang lebih besar, serta penilaian DNB.
"Namun begitu, memandangkan MNO diberi jaminan pemilikan langsung dalam DNB, kami melihat kepentingan rangkaian borong tunggal (SWN) diselaraskan dengan MNO, yang sepatutnya mengurangkan risiko pelaksanaan dan memastikan pelancaran rangkaian dipercepatkan," jelasnya.

Dalam pada itu, mengenai penggabungan Celcom-Digi yang dijangka diselesaikan pada separuh kedua berbanding suku kedua sebelum ini, Tan berkata, penggabungan adalah bersyarat atas keputusan tiada bantahan yang diperoleh daripada pengawal selia, yang masih belum selesai, dan kelulusan pemegang saham.
Pada 1 April lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengeluarkan Penyata Isu (SOI) sebagai sebahagian daripada Fasa 2 proses penilaian.
"Ini menunjukkan kemungkinan terdapat hasil yang tidak menguntungkan tetapi keputusan muktamad akan dibuat selepas menilai maklum balas syarikat telekomunikasi mengenai perkara yang dibangkitkan.
"Walaupun sentiasa wujud kemungkinan pandangan yang berbeza, kami berpendapat risikonya adalah rendah kerana pengawal selia telah mengekalkan pendirian akomodatif terhadap penyatuan pasaran dan keseluruhan penggabungan," katanya.
Mengenai lesen perbankan digital yang akan diumumkan Bank Negara Malaysia (BN) tidak lama lagi, beliau berpendapat, usaha sama Axiata Group Bhd. dan RHB Bank dilihat sebagai calon paling layak untuk memperoleh lesen tersebut.
"Terdapat skop untuk memperoleh nilai yang lebih besar untuk cabang perkhidmatan digital Axiata, Axiata Digital Services (induk kepada Boost) yang memegang 60% kepentingan dalam konsortium usaha sama itu dalam jangka masa panjang.
"Ini memandangkan pasaran boleh menampung lebih daripada RM40 bilion untuk pinjaman digital yang terdiri daripada segmen yang kurang mendapat tumpuan daripada bank," jelasnya. - DagangNews.com








