Pengguna LPT2 disaran rancang perjalanan susulan kejadian banjir di Pantai Timur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengguna LPT2 disaran rancang perjalanan susulan kejadian banjir di Pantai Timur

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Dis - Pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) disaran supaya merancang perjalanan mereka dengan baik susulan musim hujan dan beberapa kejadian banjir yang berlaku di Pantai Timur ketika ini.

 

Pada masa sama, Lebuhraya LPT2 telah boleh dilalui seperti biasa oleh semua kenderaan bagi kedua-dua arah iaitu bagi perjalanan dari Kuala Lumpur/Kuantan menghala ke Kuala Terengganu dan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan/Kuala Lumpur. 

 

Pengurus Perniagaan Wilayah LPT 2 Sdn Bhd, Suhaimi Samat berkata, berikutan insiden kegagalan cerun yang berlaku di KM393.4 baru-baru ini, LPT2 masih mengaktifkan laluan kontra bagi laluan Bukit Besi ke Ajil di KM392.4 hingga KM394.6. 

 

Beliau berkata, ia bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan cerun dilaksanakan untuk keselamatan semua pengguna lebuh raya. 

 

"Oleh itu, orang ramai diingatkan agar sentiasa peka, berhati-hati memandu, mematuhi arahan petugas serta papan tanda trafik apabila menghampiri zon kerja dan laluan kontra terbabit," katanya.

 

Tambah Suhaimi, mereka juga menasihatkan semua pemandu supaya mematuhi had laju, memperlahan kenderaan, lebih berwaspada dan berhati-hati ketika memandu di dalam cuaca hujan. 

 

Untuk mendapatkan maklumat trafik terkini di lebuh raya, pelanggan boleh menghubungi talian LPT2Line di 1800-88-0220 atau menerusi twitter @lpt2trafik. 

 

 

LPT2

 

 

Orang ramai juga boleh menggunakan Waze atau Google Map untuk merancang laluan yang akan digunakan. 

 

Sementara itu, orang ramai juga dinasihatkan untuk merujuk maklumat cuaca terkini menerusi aplikasi RakanMET atau laman MET Malaysia di www.met.gov.my atau boleh menghubungi Hotline Bilik Gerakan Bencana di 03-2610 7727 untuk mendapatkan maklumat terkini kejadian bencana di seluruh negara. - DagangNews.com