Pengeluaran getah asli Malaysia naik 8.9% pada Disember 2022 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran getah asli Malaysia naik 8.9% pada Disember 2022 - DOSM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 7 Feb - Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 8.9% kepada 30,556 tan metrik pada Disember 2022 berbanding 28,048 tan metrik pada November 2022.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran Disember disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (86.7%) berbanding sektor estet (13.3%).

 

Bagaimanapun, beliau berkata, pada asas tahun ke tahun, pengeluaran getah asli berkurangan sebanyak 26.7% berbanding 41,690 tan metrik pada Disember 2021.

 

Mohd Uzir berkata, jumlah stok getah asli pada Disember tahun lepas meningkat sebanyak 4.1% kepada 201,359 tan metrik berbanding 193,396 tan metrik pada bulan sebelumnya.

 

Beliau berkata, kategori kilang pemproses getah menyumbang 90.9% daripada stok, diikuti kilang pengguna getah (9%) dan ladang getah (0.1%).

 

“Eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,797 tan metrik pada Disember 2022, turun 4.25% berbanding November 2022 (50,927 tan metrik).

 

“China kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli yang menyumbang 47.6% daripada jumlah eksport pada Disember 2022, diikuti oleh Jerman (4.2%), Amerika Syarikat (AS) (4.2%), Iran (4.1%) dan Brazil (2.6%),” katanya dalam laporan Perangkaan Getah Bulanan Disember 2022 yang dikeluarkan jabatan itu hari ini, lapor Bernama.

 

 

dosm

 

 

Mohd Uzir berkata, prestasi eksport itu disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

 

“Sarung tangan merupakan eksport utama produk berasaskan getah dengan nilai RM1.1 bilion pada Disember 2022, meningkat 1.5% berbanding November 2022 (RM1.07 bilion),” katanya.

 

Jabatan Perangkaan berkata, dari segi harga purata bulanan, lateks pekat merekodkan penurunan sebanyak 0.5% pada 470.21 sen sekilogram pada Disember berbanding 472.58 sen sekilogram pada November, manakala sekerap meningkat 4% kepada 461.20 sen sekilogram berbanding 443.36 sen sekilogram pada bulan sebelumnya.

 

Ia berkata, harga untuk semua ‘Getah Mutu Malaysia’ (SMR) antara -0.5% hingga +1.1%.

 

Katanya, World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing meningkat 6% (daripada AS$1.27 sekilogram kepada AS$1.35 sekilogram dan meningkat 7.2% daripada AS$1.43 sekilogram kepada AS$1.54 sekilogram. (AS$1=RM4.30).


 
Ia menyatakan suku keempat 2022 menunjukkan pengeluaran getah asli berkurangan sebanyak 18.5% kepada 90,399 tan metrik berbanding 110,969 tan metrik pada suku ketiga tahun lepas, sambil menambah prestasi tahunannya pada suku keempat tahun lepas susut 21.6% berbanding dengan 115,310 tan metrik pada 2021.

 

Jabatan Perangkaan menyatakan prestasi keseluruhan pengeluaran getah asli tahun lepas menunjukkan penurunan 19.7% kepada 377,047 tan metrik berbanding 469,669 tan metrik pada tahun sebelumnya.

 

Sementara itu, berdasarkan laporan Malaysia Rubber Board Digest Disember 2022, sentimen pasaran menurun yang menyumbang kepada penurunan dalam pengeluaran kilang di peringkat global pada November  lepas disebabkan oleh  penguncupan aktiviti perkilangan Amerika Syarikat untuk pertama kali dalam dua tahun setengah dan kesan sekatan COVID-19 di China, katanya. - DagangNews.com