KUALA LUMPUR 4 Jan - Pertumbuhan pinjaman dijangka lebih menyederhana pada 2023 berdasarkan kepada trend permohonan pinjaman yang semakin menguncup pada November 2022.
Pada bulan tersebut, Maybank Investment Bank (IB) mendapati pinjaman industri berkembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 5.5% berbanding anggaran akhir tahun firma pada 6%.
Namun, penganalisisnya, Desmond Ch'ng mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman sekitar 4.8% pada 2023 berikutan pertumbuhan pinjaman isi rumah adalah lebih menyederhana pada 6% manakala bagi pinjaman bukan isi rumah berkurangan kepada 4.7%.
Katanya, penurunan pertumbuhan pinjaman pengguna itu terutamanya disebabkan segmen bahagian margin yang susut kepada 0.9% pada November manakala pinjaman bagi automotif pula menyederhana kepada 7.8%.
"Permohonan pinjaman juga menguncup tahun ke tahun sebanyak 9.8% pada November 2022. Pada asas segmen, permohonan pinjaman kediaman menguncup 26.5% manakala permohonan pinjaman kereta penumpang dan sekuriti masing-masing menguncup 16.9% dan 48.7% tahun ke tahun.
"Bagi asas bulan ke bulan, permohonan pinjaman menguncup buat bulan keempat berturut-turut sebanyak 5.3% pada November," katanya dalam nota kajian.
Data yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi November 2022 menunjukkan pembiayaan bersih meningkat 4.7% (Oktober: 5.7%), mencerminkan pertumbuhan yang lebih rendah dalam pinjaman terkumpul (5.5%; Oktober: 6.5%) dan bon korporat (2.6%; Oktober: 3.6%).
Pertumbuhan pinjaman isi rumah menjadi sederhana kepada 6% apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pertumbuhan pengeluaran pinjaman merentas tujuan pinjaman utama.
Pada masa sama, pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul menjadi sederhana kepada 3.4%, disebabkan terutamanya oleh pembayaran balik dalam kalangan syarikat besar.
Pengeluaran pinjaman terus mencatatkan pertumbuhan dua angka meskipun pertumbuhan agak sederhana dalam sektor perkilangan pengguna dan hartanah.
Sementara itu, penganalisis MIDF Research, Samuel Woo berkata, pertumbuhan pinjaman akan terus berkurangan pada separuh pertama 2023 dengan kehadiran kecairan yang kurang.
Katanya, ini memandangkan keseluruhan pertumbuhan pinjaman menurun dengan ketara pada November disebabkan kesan kadar pinjaman yang lebih tinggi mula memberi tumpuan.
"Sistem pinjaman meningkat sebanyak 5.5% tahun ke tahun (daripada 6.4% dalam julat tiga bulan sebelumnya), menguncup -0.1% bulan ke bulan. Pada asas tahunan, pertumbuhan pinjaman jatuh kepada 5.4%.
"Memandangkan unjuran awal kami terlalu optimistik, kami mengurangkan unjuran pertumbuhan pinjaman 2022 kepada sekitar 5 hingga 5.5%," jelasnya.
Bagaimanapun, firma penyelidikan, Maybank IB dan MIDF Research, mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor perbankan. -DagangNews.com








