Penarikan semula produk mengandungi pholcodine beri kesan minimum kepada sektor penjagaan kesihatan – AmInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penarikan semula produk mengandungi pholcodine beri kesan minimum kepada sektor penjagaan kesihatan – AmInvest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac - Pembatalan dan penarikan balik produk berdaftar yang mengandungi pholcodine oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) Malaysia hanya memberi kesan minimum kepada sektor penjagaan kesihatan, kata AmInvest Research hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, saiz pasaran untuk produk berkaitan pholcodine berjumlah RM20 juta di Malaysia pada masa ini dan syarikat farmasi akan menanggung kos yang berkaitan dengan penarikan balik produk.

 

Menurut AmInvest, Duopharma Biotech (Duopharma) terjejas sedikit secara negatif kerana jualan Promedyl Plus Linctus hanya menyumbang 0.1% daripada hasil tahun kewangan 2022 (FY22).

 

“Selain itu, peralatan yang digunakan untuk menghasilkan Promedyl Plus Linctus boleh digunakan untuk menjana ubat alternatif dengan perubahan bahan yang mudah, justeru tidak perlu hapus kira,” jelas firma itu dalam nota hari ini.

 

Sementara itu, Apex Healthcare (Apex) berkemungkinan mendapat sedikit manfaat daripada perkembangan ini memandangkan ubat batuk dan selsema kumpulan itu tidak mengandungi pholcodine.

 

“Di bawah senario terbaik, dengan mengandaikan Apex mampu menguasai separuh daripada pasaran berkaitan pholcodine bernilai RM20 juta dengan produknya, kami menganggarkan pendapatan tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak RM905 juta boleh meningkat sebanyak 1.1%,” katanya.

 

Pada 22 Mac, DCA Malaysia mengeluarkan arahan tersebut berikutan risiko afilaksi iaitu tindak balas alahan mengancam nyawa dengan penggunaan ubat pengendur otot atau neuromuscular blocking agents (NMBA) yang digunakan dalam proses pembiusan umum semasa pembedahan.

 

Penemuan tersebut adalah dalam kalangan individu yang mengambil ubat mengandungi pholcodine dalam tempoh 12 bulan yang lalu dan semenjak arahan tersebut dikeluarkan, sejumlah 14 produk berkaitan pholcodine telah ditarik balik.

 

AmInvest mengekalkan penarafan ‘overweight’ pada sektor penjagaan kesihatan manakala pilihan utama firma itu adalah Duopharma pada nilai saksama (FV) RM2.06 sesaham.

 

Firma itu terus menyukai Duopharma sebagai pengeluar farmaseutikal tempatan terbesar yang boleh memanfaatkan peningkatan penggunaan ubat generik di Malaysia dan pasaran Vitamin C dengan jenama popularnya, Champs dan Flavettes.

 

Selain itu, persaingan juga akan berlaku pada 2023-2026 dan perubatan biologi serupa yang berkembang pesat dengan kekuatan Duopharma dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kemudahan pembuatan terkini.

 

Dari segi penilaian, Duopharma berdagang pada PE FY23 yang lebih rendah iaitu 13x berbanding 28x IHH dan 18x Apex. -DagangNews.com