Pelancaran model baharu mampu rangsang prestasi jualan Proton pada 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelancaran model baharu mampu rangsang prestasi jualan Proton pada 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Jan - Proton yakin dapat mencapai lebih banyak pertumbuhan dengan penambahan rangkaian tawaran serta pelancaran model baharu pada tahun ini.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, Proton kini mempunyai pertumbuhan jualan untuk empat tahun berturut-turut sekaligus menjadi satu-satunya syarikat automotif di Malaysia yang mencapainya dari tahun 2019 hingga tahun 2022.

 

Beliau berkata, banjir pada penghujung tahun 2021 yang memberi kesan sehingga ke suku pertama menyebabkan mereka ketinggalan ke belakang dan bekerjasama dengan vendor untuk memulihkan keadaan bekalan alat ganti. 

 

"Syukurlah, jumlah itu dapat dikejar dalam tempoh tiga suku yang seterusnya, tetapi kami yakin boleh mencapai lebih banyak dan mencatatkan angka lebih baik jika tidak menghadapi permulaan tahun mencabar. 

 

"Bagaimanapun kami menjangkakan Jumlah Keseluruhan Volum Industri (TIV) akan menyusut daripada jumlah rekod tahun 2022 kerana penghantaran pesanan yang dibuat semasa tempoh pengecualian cukai jualan akan dipenuhi pada akhir bulan Mac. 

 

"Kadar faedah juga dijangka meningkat lagi pada tahun ini akan menjadikan sukar bagi industri automotif untuk terus meningkatkan jualan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Terdahulu, Proton mengakhiri tahun 2022 dengan 141,432 unit terjual (domestik dan eksport) selepas mencatatkan 14,750 unit dalam bulan Disember, jualan bulanan yang keempat terbaik untuk tahun tersebut.

 

 

proton
                                                                    Roslan Abdullah

 

 

Berbanding dengan prestasi pada tahun 2021, jumlah jualan telah meningkat sebanyak 23.3% walaupun menghadapi kesukaran pada awal tahun apabila pembekalan alat ganti terjejas akibat banjir, dan kekurangan cip secara global menyebabkan penurunan jumlah jualan untuk empat bulan pertama. 

 

Sementara itu, jumlah jualan untuk pasaran antarabangsa pula meningkat kepada 5,406 unit, berkembang sebanyak 79.1% dan membolehkan Proton mengakhiri tahun ini sebagai pengeksport utama industri.

 

 

proton

 

 

proton

 

Secara keseluruhannya, syarikat telah mengekalkan kedudukannya di tangga kedua di dalam industri dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 19.6%. 

 

TIV untuk tahun 2022 dianggarkan melebihi 720,000 unit, satu catatan industri baharu yang tinggi, di samping jualan Disember yang memecahkan rekod.

 

Sementara itu, Proton X50 terus menjadi SUV terlaris di Malaysia dengan jualan 3,764 unit di bulan Disember, mengakhiri tahun 2022 dengan rekod jualan tahunan SUV baharu sebanyak 40,681 unit. 

 

 

proton

 

 

Ini merupakan peningkatan sebanyak 41.4% berbanding tahun 2021 dan menjadikan SUV segmen B ini model kedua paling laris antara barisan model syarikat.

 

Walaupun menghadapi cabaran kuat daripada pesaing baharu, Proton X70 mengakhiri tahun dengan 1,787 unit terjual pada bulan Disember dan angka keseluruhan 18,533 unit, meningkat sebanyak 13.1% berbanding tahun sebelumnya. - DagangNews.com