Pelabur asing terus jual ekuiti buat minggu ketiga sebanyak RM57.8 juta - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing terus jual ekuiti buat minggu ketiga sebanyak RM57.8 juta - MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 30 Jan - Pelabur asing terus menjual bersih ekuiti tempatan untuk minggu ketiga berturut-turut pada kadar RM57.8 juta.

 

Setakat ini, pelabur asing telah menjual sebanyak RM200.77 juta ekuiti tempatan, menurut MIDF Research hari ini.

 

Minggu dagangan yang dipendekkan sempena cuti Tahun Baharu Cina itu menyaksikan aliran keluar pelabur asing paling tinggi dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM30.67 juta dan Rabu, RM26.51 juta.

 

Aliran keluar pada hari Khamis pula adalah lebih rendah iaitu pada RM660,000.

 

Sektor perkhidmatan kewangan merekodkan aliran keluar paling tinggi sebanyak RM140.5 juta diikuti telekomunikasi dan media (RM14.3 juta) dan pembinaan (RM14.1 juta).

 

Sektor produk dan perkhidmatan pengguna mencatatkan aliran masuk tertinggi sebanyak RM54.6 juta diikuti tenaga (RM26.3 juta) dan penjagaan kesihatan (RM21.8 juta).

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan kekal menjadi pembeli bersih ekuiti bagi minggu ketiga berturut-turut sebanyak RM685.39 juta.

 

“Mereka merekodkan pembelian ekuiti sebanyak RM57.3 juta pada Rabu dan RM35.5 juta pada Jumaat.

 

"Sebaliknya, aliran keluar pula adalah sebanyak RM14 juta pada Khamis, dengan mencatatkan pembelian ekuiti sebanyak RM78.9 juta sepanjang minggu lalu,” katanya.

 

Sementara itu, pelabur runcit menjual RM30.8 juta pada Rabu dan RM4.8 juta pada Jumaat manakala pada hari Khamis, mereka membeli ekuiti sebanyak RM14.6 juta.

 

“Setakat ini, pelabur runcit telah menjual sebanyak RM484.62 juta ekuiti tempatan,” katanya.

 

Dari segi pergerakan pelabur, MIDF Research mendapati volum dagangan purata harian (ADTV) pelabur runcit dan pelabur asing masing-masing meningkat 19.2% dan 4.6%, manakala dagangan pelabur institusi tempatan menurun 0.9%. - DagangNews.com