Pelabur asing jual RM380.8 juta ekuiti tempatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing jual RM380.8 juta ekuiti tempatan

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Feb - Pelabur asing terus menjual bersih ekuiti tempatan untuk minggu keempat berturut-turut, mencecah sebanyak RM380.8 juta atau 89.6% lebih tinggi daripada minggu sebelumnya.

 

Setakat ini, aliran keluar ekuiti tempatan oleh pelabur asing adalah sebanyak RM 89.1 juta, menurut MIDF Research hari ini.

 

Minggu dagangan yang dipendekkan sempena cuti Hari Persekutuan pada Rabu itu menyaksikan aliran keluar pada Isnin sebanyak RM48.6 juta diikuti RM98.9 juta (Selasa) dan RM68.1 juta (Jumaat).

 

Sementara itu, aliran masuk direkodkan pada Khamis sebanyak RM35.6 juta.

 

Sektor produk dan perkhidmatan pengguna merekodkan aliran masuk paling tinggi sebanyak  RM58.7 juta diikuti sektor teknologi (RM23.7 juta) serta telekomunikasi dan media (RM15.7 juta).

 

Manakala, aliran keluar tertinggi adalah sektor perkhidmatan kewangan sebanyak RM174 juta diikuti penjagaan kesihatan (RM43.3 juta) dan perladangan (RM35.9 juta).

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan kekal menjadi pembeli bersih ekuiti tempatan bagi minggu keempat berturut-turut sebanyak RM816 juta.

 

"Mereka merekodkan pembelian ekuiti sebanyak RM9.6 juta pada Isnin, RM59.3 juta (Selasa), RM0.5 juta (Khamis) dan RM61.2 juta (Jumaat).

 

"Pelabur institusi tempatan membuat pembelian bersih sebanyak RM130.6 juta pada minggu lepas," katanya.

 

Sementara itu, pelabur runcit direkodkan kembali menjadi pembeli bersih ekuiti setelah menjual selama tiga minggu berturut-turut.

 

"Mereka mencatatkan pembelian ekuiti sebanyak RM49.4 juta pada minggu lepas dengan pembelian sebanyak RM38.9 juta pada Isnin, RM39.6 juta (Selasa) dan RM6.9 juta (Khamis) manakala terdapat aliran keluar sebanyak RM36 juta pada Khamis," katanya.

 

Dari segi pergerakan pelabur, MIDF Research mendapati  volum dagangan purata harian (ADTV) kesemua pelabur asing runcit, pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit masing-masing meningkat 64.7%, 19.6% dam 7.8%. - DagangNews.com