KUALA LUMPUR 27 Mac - Pelabur asing terus menjual bersih ekuiti tempatan untuk minggu keempat berturut-turut dengan mencatatkan jualan RM107.1 juta minggu lepas, menurut laporan MIDF Research hari ini.
Firma itu berkata, jualan bersih minggu lepas adalah lebih rendah berbanding jumlah minggu sebelumnya sebanyak RM536 juta.
Jualan bersih tertinggi adalah pada Isnin pada RM88.5 juta, diikuti Khamis sebanyak RM59.43 juta manakala pada hari lain adalah aliran masuk RM40.8 juta.
“Pelabur asing menjual bersih selama 15 hari dagangan sejak 1 Mac dan setakat ini, mereka menjadi penjual bersih selama 9 minggu daripada 12 minggu menjadikan jumlah jualan bersih sebanyak RM1.89 bilion,” kata firma penyelidikan itu.
Aliran masuk pelaburan asing yang tertinggi direkodkan dalam sektor penjagaan kesihatan sebanyak RM90 juta, diikuti pengangkutan dan logistik (RM24.4 juta) dan pembinaan (RM15.9 juta).
Sementara itu, aliran keluar dalam sektor produk dan perkhidmatan perindustrian sebanyak RM70.5 juta, utiliti (RM50.5 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna RM49.2 juta.
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan pula kekal sebagai pembeli bersih ekuiti tempatan bagi minggu keempat berturut-turut berjumlah RM13.5 juta minggu lepas lebih rendah berbanding jumlah mingguan tertinggi pada tahun ini iaitu pada minggu lepas sebanyak RM566.7 juta.
“Seperti pelabur asing, pelabur institusi tempatan juga menunjukkan pelaburan bercampur minggu lepas dengan aliran masuk paling kukuh dilihat pada hari Isnin iaitu RM56.8 juta dan aliran keluar terbesar pada Jumaat sebanyak RM77.90 juta,” katanya.
Pelabur institusi tempatan telah membeli bersih RM1.78 bilion ekuiti, dengan belian bersih 9 daripada 12 minggu tahun ini.
Manakala pelabur runcit bertukar menjadi pembeli bersih minggu lepas sebanyak RM84.7 juta.
Seperti pelabur asing dan pelabur institusi tempatan, mereka juga membeli bersih tiga hari dan menjual bersih dua hari, dengan aliran masuk tertinggi dicatatkan pada Jumaat sebanyak RM65.2 juta manakala aliran keluar terbanyak pada Selasa berjumlah RM21.1 juta.
Setakat ini, mereka telah membeli bersih RM99.5 juta ekuiti, dengan 7 daripada 12 minggu belian bersih.
“Dari segi pergerakan pelabur, MIDF Research mendapati nilai purata dagangan harian (ADTV) kesemua pelabur asing, pelabur institusi tempatan dan pelabur runcit masing-masing menurun 41.1%, 25.3% dan 16.3%. -DagangNews.com








