IPOH 11 Jan - Perak Community Specialist Hospital (PCSH) bersama pertubuhan Perak, Toong Onn Wooi Koon telah menganjurkan Program Pemeriksaan Kesihatan Komuniti baru-baru ini.
PCSH dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan kesihatan itu juga bertujuan menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.
Menurut kenyataan itu, atas rasa tanggungjawab terbabit, PCSH telah memilih program berkenaan sebagai pembukaan tirai aktiviti pada tahun ini.
"Selain menawarkan pemeriksaan darah pada caj istimewa, PCSH turut mengadakan beberapa pemeriksaan kesihatan kepada orang ramai.
"Ini termasuklah ujian mamogram percuma dan ujian HPV DNA yang dijalankan dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)," ujar kenyataan itu.
Turut diadakan ialah sesi ceramah kesihatan berhubung diabetis dan hipertensi yang disampaikan oleh Dr. Kaw Han Chung.


Program ini juga merupakan salah satu aktiviti sosial korporat PCSH untuk meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat. - DagangNews.com








