KUALA LUMPUR 4 Jan - CGS-CIMB Research menjangkakan pasaran akan kekal mencabar tahun ini memandangkan korporat berusaha menyesuaikan keadaan dengan perubahan dasar-dasar baharu dan landskap politik selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Malah, korporat juga membuat pelarasan sejajar dengan pertumbuhan global yang lebih perlahan, dasar monetari yang lebih ketat dan ketegangan geopolitik yang berterusan dengan perang Rusia-Ukraine menyebabkan harga komoditi lebih tinggi.
Namun, firma itu menjangkakan, faktor-faktor tersebut telah diambil kira pada separuh pertama 2023 dengan pasaran akan melantun semula pada separuh kedua.
"Kami berpendapat kelemahan ini boleh dihadkan oleh jangkaan pertumbuhan pendapatan FBM KLCI yang lebih kukuh sebanyak 12.8% pada 2023 (berbanding -2.9% pada 2022) dan penilaian KLCI yang tidak menuntut.
"Oleh itu, kami mengunjurkan indeks utama KLCI ini akan berlegar sekitar 1,633 mata menjelang akhir tahun ini, setelah menokok 9% (daripada 1,495 mata yang direkodkan pada akhir 2022)," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara keseluruhan, pilihan utama CGS-CIMB pada separuh pertama 2023 ialah Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), MR DIY (M) Bhd. dan RHB Bank Bhd.
Potensi ketibaan antarabangsa yang lebih tinggi apabila China membuka semula sempadan akan memberi manfaat kepada MAHB manakala MR DIY pula dijangka menjadi penerima manfaat daripada aliran menurun akibat peningkatan tekanan inflasi serta RHB Bank kerana hasil dividennya yang menarik pada tahun lalu.
Sementara itu, ia mendapati, pegangan saham asing menghampiri paras terendah sejarahnya, dan pelabur institusi domestik boleh berubah menjadi pembeli bersih dalam pasaran berikutan kecairan yang lebih baik.
Antara yang menjadi tumpuan pelabur pada Januari 2023 termasuklah mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan menentukan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR), langkah-langkah yang akan diambil kerajaan perpaduan bagi menangani kos sara hidup dan membanteras rasuah serta hasil daripada Perhimpunan Agung UMNO.
Bagi 2022, KLCI susut 4.6% disebabkan beberapa insiden negatif dalam pasaran, antaranya, kebimbangan meletusnya varian baharu COVID-19, pencerobohan Ukraine oleh tentera Rusia dan kenaikan harga komoditi sehingga mencetuskan kebimbangan inflasi.
Selain itu, ia turut dipengaruhi kenaikan gaji minimum sebanyak 36% kepada RM1,500 sebulan, kenaikan OPR sehingga 100 mata asas sepanjang tahun ini, langkah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar Dana Persekutuan (FFR) sebanyak 425 mata asas dan kebimbangan terhadap risiko kemelesetan di AS.
Pasaran tempatan melabuhkan tirai 2022 dengan keputusan PRU15 yang menyaksikan Parlimen tergantung hampir seminggu memandangkan tiada mana-mana gabungan parti politik bertanding berjaya membentuk kerajaan.
Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih ekuiti dengan jualan bersih meningkat kepada RM1.4 bilion pada Disember 2022 (daripada RM282 juta pada November 2022).
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan merupakan pembeli bersih ekuiti pada Disember dengan aliran masuk melonjak sehingga RM1.7 bilion berbanding RM153 juta pada bulan sebelumnya.
Pada 2022, KLCI muncul pasaran yang mencatat prestasi terburuk dalam kalangan pasaran MIST (Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand) dan satu-satunya yang mencatat pulangan negatif. -DagangNews.com








