Kuala Lumpur terus berubah. Bangunan baharu muncul, ruang komersial berkembang dan pusat beli-belah semakin menjadi sebahagian daripada wajah kota.
Selepas Suria KLCC, Pavilion Kuala Lumpur, Mid Valley, The Gardens dan pelbagai kompleks lain, muncul pula The Exchange TRX sebagai antara ruang membeli-belah terbaharu yang menawarkan pengalaman lebih mewah dan spektakular.
Kini perhatian beralih kepada Ombak KLCC dan pusat beli-belah di kawasan Merdeka 118.
Perkembangan ini menimbulkan satu pertanyaan yang kelihatan sederhana tetapi sebenarnya jauh lebih mendalam: berapa banyak lagi pusat beli-belah yang Kuala Lumpur perlukan?
Pertanyaan tersebut tidak semestinya dijawab dengan angka. Kita boleh menghitung jumlah penduduk, kuasa beli, jumlah pelancong, kadar penghunian ruang niaga atau keluasan lantai runcit yang tersedia.
Semua itu penting dari sudut ekonomi dan perancangan bandar. Namun, apabila Kuala Lumpur terus menghasilkan pusat beli-belah baharu sedangkan masyarakat sudah dikelilingi begitu banyak ruang membeli-belah, persoalannya bukan lagi sekadar tentang keperluan ekonomi.
Kita juga perlu bertanya tentang keinginan.
Apabila membeli bukan lagi kerana keperluan
Mengapakah masyarakat yang sudah mempunyai begitu banyak tempat untuk membeli masih memerlukan tempat baharu untuk membeli?
Paradoks ini dapat difahami dengan melihat perubahan budaya kepenggunaan masyarakat moden. Membeli tidak lagi sekadar tindakan mendapatkan sesuatu yang diperlukan untuk memenuhi keperluan hidup.
Manusia moden membeli bukan sahaja kerana nilai guna sesuatu barang tetapi juga kerana makna, citra, gaya hidup, prestij dan identiti yang dilekatkan padanya.
Sesuatu yang dibeli dengan itu tidak lagi berdiri sebagai barang semata-mata bahkan menjadi tanda tentang siapa kita, bagaimana kita mahu dilihat dan kehidupan seperti apa yang ingin kita tampilkan.
Sebuah beg tidak lagi sekadar tempat menyimpan barang. Secawan kopi bukan hanya minuman. Restoran bukan sekadar tempat menghilangkan lapar. Pakaian bukan semata-mata untuk menutup tubuh.
Semua objek tersebut berada dalam jaringan tanda yang memberitahu sesuatu tentang siapa kita, bagaimana kita mahu dilihat dan dalam kelompok sosial mana kita membayangkan diri kita berada.
Pusat beli-belah menjadi antara ruang paling sempurna bagi dunia tanda tersebut.
Pusat beli-belah sebagai pentas kehidupan moden
Kita mungkin memasuki sebuah pusat beli-belah tanpa benar-benar mempunyai barang tertentu yang hendak dibeli.
Kita berjalan, melihat ruang pameran, menikmati suasana, mengambil gambar, minum kopi, makan, bertemu rakan atau sekadar memerhatikan orang lain bermundar-mandir.
Namun sepanjang berada di dalamnya, kita sebenarnya sedang berada dalam sebuah sistem tanda yang sangat kompleks.
Cahaya, aroma, muzik, seni bina, susunan kedai, jenama antarabangsa, restoran, taman dalaman dan pemandangan kota semuanya direka untuk menghasilkan pengalaman tertentu.
Oleh sebab itu, pusat beli-belah kontemporari semakin kurang menyerupai sebuah pasar dalam pengertian tradisional. Ia semakin menyerupai sebuah pentas kehidupan moden.
The Exchange TRX memberikan gambaran yang jelas tentang perubahan tersebut. Tarikannya bukan hanya kedai.
Taman di atas bangunan, restoran, ruang pertemuan, seni bina dan keseluruhan pengalaman berada di situ menjadi sebahagian daripada daya tarikannya.
Perkembangan seperti Ombak KLCC pula memperlihatkan kecenderungan serupa apabila seni, gastronomi, ruang awam dan pengalaman budaya semakin digabungkan dengan kegiatan komersial.
Maka yang ditawarkan bukan lagi semata-mata barang. Pengalaman itu sendiri telah menjadi sesuatu yang mempunyai nilai komersial.
Dunia hyperreality
Di sinilah konsep *hyperreality* atau hiperrealiti menjadi relevan.
Dalam dunia hiperrealiti, batas antara keperluan dengan keinginan, realiti dengan citra serta pengalaman dengan gambaran tentang pengalaman menjadi semakin kabur.
Kita tidak semestinya pergi ke sesuatu tempat kerana benar-benar memerlukannya. Kita pergi kerana tempat tersebut telah memperoleh makna tertentu dalam imaginasi sosial.
Pusat beli-belah baharu perlu kelihatan lebih menarik daripada pusat beli-belah sebelumnya. Restoran baharu perlu mempunyai konsep yang lebih unik. Ruang baharu perlu lebih fotogenik.
Taman perlu memberikan latar yang lebih mengagumkan. Pengalaman pula perlu sentiasa diperbaharui.
Kebaharuan akhirnya menjadi satu keperluan.
Apa yang baharu hari ini akan menjadi biasa esok. Pavilion pernah menjadi simbol kebaharuan Kuala Lumpur sebelum muncul pusat komersial lain dengan pengalaman yang berbeza.
The Exchange TRX menghasilkan keterujaan baharu. Ombak KLCC dan Merdeka 118 pula bakal menawarkan imaginasi baharu tentang pengalaman kota.
Persoalannya, sampai bila?
Keinginan yang tidak pernah selesai
Budaya kepenggunaan mempunyai jawapan yang mudah: selagi keinginan dapat terus diciptakan.
Keinginan berbeza daripada keperluan. Keperluan boleh dipenuhi. Seseorang yang lapar boleh berhenti makan apabila kenyang.
Namun keinginan dalam budaya kepenggunaan sentiasa bergerak. Selepas memperoleh sesuatu, muncul sesuatu yang lain untuk dikejar.
Selepas sebuah pengalaman menjadi biasa, kita mencari pengalaman baharu.
Sebab itulah pertanyaan “berapa banyak lagi kita perlu membeli?” sebenarnya mengandungi sebuah paradoks.
Mungkin kita tidak lagi membeli kerana kekurangan sesuatu. Kita membeli kerana persekitaran budaya kontemporari sentiasa memberitahu bahawa masih ada sesuatu yang belum kita miliki, belum kita alami atau belum kita tunjukkan kepada orang lain.
Media sosial menjadikan keadaan ini lebih kompleks.
Media sosial menjadi mesin keinginan
Pusat beli-belah hari ini tidak lagi wujud hanya dalam ruang fizikal Kuala Lumpur. Ia mempunyai kehidupan kedua dalam ruang digital.
Seseorang datang ke sebuah restoran, mengambil gambar makanan, merakam pemandangan, menghasilkan video pendek dan memuat naik pengalaman tersebut ke media sosial.
Algoritma kemudian mengedarkan citra itu kepada ribuan atau mungkin jutaan pengguna lain.
Ruang fizikal bertukar menjadi tanda digital. Tanda digital melahirkan keinginan. Keinginan membawa manusia kembali kepada ruang fizikal.
Pengalaman baharu kemudiannya sekali lagi diubah menjadi citra digital.
Terbentuklah satu lingkaran: pusat beli-belah, pengalaman, citra, algoritma, keinginan, pembelian dan kembali kepada citra.
Dalam keadaan ini, algoritma menjadi antara mesin penggerak budaya kepenggunaan kontemporari.
Ia mempelajari apa yang kita lihat, apa yang kita sukai, tempat yang menarik perhatian kita dan jenis pengalaman yang membuat kita tidak berhenti menatap skrin. Kemudian ia mempersembahkan lebih banyak citra yang hampir serupa.
Kita menyangka kita sedang mencari tempat untuk dikunjungi. Pada masa yang sama, sistem digital sedang membantu menentukan tempat yang patut kita inginkan.
Kuala Lumpur dibentuk oleh citra dan algoritma
Kuala Lumpur akhirnya bukan sahaja dibangunkan oleh arkitek, pemaju dan perancang bandar. Kuala Lumpur juga sedang dibentuk oleh citra dan algoritma.
Sebuah tempat boleh menjadi penting bukan semata-mata kerana fungsi bandar yang dimilikinya sebaliknya kerana keupayaannya menghasilkan keterlihatan.
Ruang yang paling banyak difoto, dirakam, dikongsi dan diperkatakan memperoleh nilai simboliknya sendiri.
Manusia datang kerana orang lain telah datang. Mereka mengambil gambar kerana gambar orang lain telah membuat mereka mahu berada di sana.
Dengan itu, pusat beli-belah semakin menghampiri apa yang boleh disebut sebagai gedung hiperrealiti.
Namun persoalan yang lebih besar bukanlah sama ada pembangunan seperti Ombak KLCC, Merdeka 118 atau The Exchange TRX perlu dihentikan.
Kota sentiasa berkembang dan ekonomi bandar memerlukan pelaburan, perdagangan, pekerjaan, pelancongan serta ruang sosial yang baharu.
Persoalan yang lebih penting ialah apakah jenis kota yang sedang kita bina melalui perkembangan tersebut.
Adakah kita mempunyai ruang untuk tidak membeli?
Kuala Lumpur mempunyai semakin banyak ruang untuk membeli. Namun, adakah kita mempunyai ruang yang mencukupi untuk tidak membeli?
Adakah terdapat cukup taman, perpustakaan, dataran awam, galeri, ruang seni, laluan pejalan kaki, tempat membaca, ruang pertemuan komuniti dan kawasan untuk seseorang duduk selama dua jam tanpa merasakan bahawa dia perlu memesan kopi atau membeli sesuatu?
Pertanyaan ini penting kerana sebuah bandar raya bukan sekadar mesin ekonomi. Ia ialah ruang kehidupan manusia.
Apabila semakin banyak pengalaman sosial berlaku dalam ruang komersial, hubungan antara warga dengan bandar raya turut berubah secara perlahan-lahan.
Kita tidak lagi sekadar menjadi warga yang mendiaminya. Kita semakin menjadi pengguna yang mengalami kehidupan urban melalui pilihan komersial, citra dan gaya hidup yang ditawarkannya.
Pemandangan menjadi latar untuk dipamerkan. Makanan menjadi pengalaman untuk dikongsi. Seni bina menjadi citra untuk dirakam.
Kehadiran di sesuatu tempat pula menjadi sebahagian daripada pembentukan identiti di media sosial.
Bahkan pengalaman kehidupan bandar itu sendiri semakin mudah diterjemahkan kepada sesuatu yang boleh dipamerkan, dikongsi dan dinilai oleh orang lain.
Akhirnya, Kuala Lumpur sendiri berpotensi menjadi sebuah komoditi visual yang sentiasa perlu diperbaharui agar terus menarik perhatian.
Daripada pengguna kembali menjadi warga kota
Oleh itu, pertanyaan tentang jumlah pusat beli-belah sebenarnya membuka persoalan yang jauh lebih besar tentang masa depan Kuala Lumpur.
Kita mungkin tidak kekurangan tempat untuk membeli. Apa yang mungkin semakin kita perlukan ialah ruang yang mengembalikan manusia daripada kedudukannya sebagai pengguna kepada kedudukannya sebagai warga kota.
Pusat beli-belah baharu akan terus dibuka. Citra baharu akan terus memenuhi skrin.
Algoritma akan terus memperkenalkan tempat baharu yang dikatakan “mesti dikunjungi”.
Pengalaman semalam akan menjadi biasa dan pengalaman esok akan muncul sebagai sesuatu yang tidak boleh dilepaskan.
Mungkin kerana itulah pertanyaan paling penting bukan lagi, berapa banyak lagi pusat beli-belah yang Kuala Lumpur perlukan?
Persoalannya ialah: berapa banyak lagi kita perlu membeli sebelum kita menyedari bahawa yang sedang ditawarkan kepada kita bukan lagi barang semata-mata tetapi keinginan itu sendiri? - DagangNews.com








