Subuh masih lembut, azan baru berlalu, dan jalan menuju Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, masih berkabus dengan kesibukan yang menanti. Saya sampai hampir jam 7 pagi, tatkala matahari baru mahu mengintip dari balik bangunan konkrit.
Namun, di hadapan pintu masuk Jabatan Kardiologi, manusia sudah beratur panjang seolah-olah setiap nadi di negeri ini sedang berkerumun di sini, menanti pintu rawatan dibuka. Degup jantung saya sendiri terasa lebih kencang, seakan mahu bersatu dengan aliran arus manusia itu.
Langkah demi langkah, saya turut sama melabuhkan diri dalam barisan. Tiada keluh kesah yang lantang, hanya desah sabar bercampur harap. Pintu belum terbuka, namun wajah-wajah ini sudah menanggung beban penyakit dan kerinduan pada sihat.
Setelah pintu dibuka, kami beralih pula ke satu barisan lain iaitu pendaftaran. Di sinilah kesabaran sekali lagi diuji; nombor giliran bagaikan sekeping tiket untuk masuk ke dunia kesembuhan, walau tanpa jaminan lekas tiba.
Hari itu saya dijadualkan untuk pemeriksaan ultrasound jantung. Selesai proses pertama, saya perlu kembali ke Jabatan Kardiologi dan menanti lagi, kali ini hampir tiga jam. Waktu itu menjadi ruang renungan.
Hospital Serdang
Betapa hospital ini, yang asalnya dikenali sebagai Hospital Serdang sejak 2005, kini dengan nama baharu mengambil sempena Sultan Idris Shah, telah berkembang menjadi sebuah pusat rujukan serantau.
Dengan 620 katil aktif daripada kapasiti asal 668 katil, dengan wad-wad yang meliputi kardiologi, kardiotorasik, urologi, nefrologi dan pelbagai cabang lain, ia menampung ribuan pesakit setiap minggu.

Saya terkenang kembali pada Ogos 2018, saat hidup saya direntap oleh strok yang datang tanpa amaran. Dua minggu lamanya saya menghuni satu daripada wad tiga hospital ini. Wad itu menjadi saksi ketika tubuh saya lumpuh separuh, ketika ingatan saya hilang seketika, ketika saya hanya mampu menatap siling sambil mendengar deru mesin oksigen dan detikan monitor.
Jururawat yang bergilir siang malam, doktor yang sabar memeriksa setiap nadi, serta keluarga dan ratusan kawan yang datang dengan wajah risau semuanya terpahat sebagai sebahagian daripada perjalanan pulih yang getir tetapi penuh rahmat.
Bagi saya, Hospital Serdang bukan sekadar bangunan rawatan; ia pernah menjadi rumah antara hidup dan mati.
Hospital ini menempatkan lebih 1,000 kakitangan, termasuk 289 orang dalam Unit Penyeliaan sahaja. Terdapat 36 jabatan merentang daripada Ortopedik, Kardiotorasik, Perubatan Dalaman, Nefrologi, Anestesiologi, Oftalmologi, hinggalah kepada Radiologi dan Rehabilitasi.
Belanjanya pula walau tiada angka rasmi dipaparkan kepada umum tentulah mencecah ratusan juta ringgit setahun, kerana hanya dengan peruntukan sebesar itu mampu sebuah hospital sebesar ini berdiri, membiayai gaji kakitangan, membeli mesin jantung bernilai jutaan, serta memastikan mesin CT-scan, MRI, dan ventilator bernafas tanpa henti.
Ketika akhirnya tiba giliran saya bertemu doktor pada lawatan terkini, beliau menyambut dengan senyum yang letih tetapi ikhlas. Saya bertanya, apakah selalu begini ramainya manusia berhimpun?
Pusing jam
Doktor itu menghela nafas panjang, lalu menjawab, “Saya pulang setiap hari jam 10 malam. Pagi esok, sebelum matahari benar-benar tinggi, saya sudah kembali.”
Saya terdiam. Seorang manusia, dengan tubuh dan hati yang juga punya batas, dipaksa oleh sistem untuk terus bertahan, kerana jika seorang doktor berhenti, seratus pesakit akan tertangguh. Dan isteri saya, seorang doktor perubatan kini hanya menjadi pensyarah di fakulti perubatan.
Saya keluar dari hospital sekitar jam 3 petang. Hari sudah terbang separuh, hanya untuk satu pemeriksaan dan konsultasi. Namun, bukan penantian yang menekan jiwa, tetapi kesedaran bahawa hospital di Malaysia sedang bernafas dalam sesak.
Bukan sahaja di Serdang. Di hospital dan klinik di utara dan selatan, timur dan barat, ceritanya sama. Barisan panjang, doktor letih, jururawat terpaksa berlari, dan pesakit menunggu dalam doa.

Apakah ini satu sindrom? Sindrom sebuah negara yang rakyatnya semakin ramai, penyakit kian rumit, tetapi fasiliti perubatan tidak mampu mengejar laju masa?
Malaysia sebenarnya tidak kekurangan jaringan kesihatan. Menurut rekod Kementerian Kesihatan, kita mempunyai 155 hospital kerajaan, di samping lebih 220 hospital swasta yang beroperasi di bandar besar.
Lebih dari itu, ada ratusan Klinik Kesihatan di seluruh daerah, ditambah dengan lebih 10,300 klinik perubatan swasta yang berdaftar di bawah Akta 586 setakat 2023. Namun angka itu yang tampak gah di atas kertas tidak selalu seiring dengan realiti.
Hospital kerajaan sering sesak kerana ia menjadi benteng terakhir yang mampu digapai rakyat marhaen. Klinik kesihatan awam pula, walau banyak, ada yang daif dan kekurangan doktor. Klinik swasta memang banyak, tetapi tidak semua rakyat mampu menanggung caj rawatan. Lalu arus manusia tetap mengalir deras ke hospital besar, menumpahkan diri di lorong kardiologi, ortopedik, pediatrik, atau nefrologi.
Di peringkat kementerian, usaha mengatasi sesak ini memang ada. Bajet 2023 memperuntukkan RM36.1 bilion untuk Kementerian Kesihatan, angka yang terbesar pernah diberi ketika itu. Daripada jumlah itu, sebahagiannya digunakan untuk membaiki hospital lama, membeli peralatan baharu, membina klinik di kawasan pedalaman, dan meningkatkan gaji serta kebajikan pegawai kesihatan.
Namun, jumlah besar itu hakikatnya terpecah kepada ribuan keperluan: dari mesin dialisis hingga bumbung bocor di wad, dari ubat kanser bernilai ratusan ribu hingga lampin pesakit di wad geriatrik.
Di balik angka dan struktur, ada manusia. Ada doktor yang pulang lewat malam setiap hari. Ada jururawat yang menahan kelaparan kerana sibuk mengejar waktu. Ada pesakit yang terbaring menunggu katil kosong. Ada keluarga yang menunggu di koridor, mata merah kerana berjaga.
Wajah Kesihatan Negara
Hospital Sultan Idris Shah hanyalah satu cerminan daripada wajah kesihatan negara. Di sinilah saya melihat sendiri bagaimana teknologi, mesin ultrasound, sistem pendaftaran elektronik, pengurusan digital berpadu dengan kelemahan manusiawi: penantian panjang, birokrasi lambat, kakitangan tidak cukup.
Apakah kesesakan ini sebuah sindrom nasional? Saya percaya ia adalah sindrom peralihan. Malaysia sedang melangkah daripada negara membangun ke arah negara berpendapatan tinggi. Beban penyakit kronik kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, kegagalan buah pinggang meningkat dengan drastik. Pada masa yang sama, infrastruktur kesihatan sedang cuba berlari, tetapi langkahnya masih berat dengan bebanan lama.

Namun saya juga percaya, di sebalik segala sesak, masih ada denyut harapan. Ada semangat doktor yang tidak jemu menyambut pesakit meski tubuhnya letih. Ada jururawat yang masih mampu tersenyum ketika mengikat gelang pesakit.
Ada pegawai pendaftaran yang tetap ramah walau barisan di depannya memanjang.
Ketika saya melangkah pulang pada petang itu, jantung saya bukan sahaja diperiksa oleh mesin, tetapi juga oleh pengalaman. Saya sedar, hospital ini bukan sekadar bangunan konkrit dengan angka belanja ratusan juta setahun. Ia adalah sebuah nadi bangsa tempat rakyat kecil dan besar berkumpul, tempat doa bertemu mesin, tempat sabar bertemu harap.
Saya sendiri pernah terlantar di wad hospital ini, dua minggu pada Ogos 2018, bertarung dengan strok yang hampir meragut segalanya. Dan hari ini, saya kembali sebagai pesakit luar, masih melihat wajah yang sama, kesibukan, kepenatan, kesesakan.
Tetapi saya juga melihat wajah lain: wajah harapan. Harapan bahawa sistem ini, meski sesak, tetap berfungsi. Harapan bahawa suatu hari nanti, kesesakan ini bukan lagi sindrom, tetapi sejarah yang telah kita atasi bersama. - DagangNews.com








