Pameran aset ketenteraan tarikan Jelajah AKM Pahang pada 28 hingga 30 Oktober 2022 | DagangNews Skip to main content

Pameran aset ketenteraan tarikan Jelajah AKM Pahang pada 28 hingga 30 Oktober 2022

Pengunjung tidak melepaskan peluang melihat pameran ketenteraan di Jelajah AKM Perak pada 1 Julai 2022.

KUANTAN 25 Okt - Pameran aset dan kehebatan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara tarikan pada siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Pahang, yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Darul Makmur dan Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC) di sini, selama tiga hari bermula Jumaat ini.

 

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abd Aziz berkata, siri AKM ke-12 itu yang bertemakan 'Keluarga Malaysia Teras Pertahanan Negara', menonjolkan kehebatan semua tiga perkhidmatan ATM iaitu darat, laut dan udara, dengan persiapan kini sedang giat dilakukan.

 

“Aset yang akan dipertontonkan antaranya ialah aset kenderaan dan aset persenjataan ringan dan berat, yang biasa digunakan tentera selain turut akan melibatkan pasukan khas seperti Gerup Gerak Khas, Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan Pasukan Khas Tentera Udara Malaysia (PASKAU), yang semuanya menunjukkan kehebatan pasukan tentera kita. 

 

“Selain itu, kita juga akan mempunyai kaunter khusus untuk veteran ATM, yang membolehkan mereka mendapatkan perkhidmatan secara terus daripada pegawai yang ditugaskan di situ dan juga kaunter bagi pengambilan untuk menyertai ATM,” katanya pada temu bual Bicara Naratif anjuran Berita RTM secara dalam talian malam tadi, lapor Bernama. 

 

Muez berkata, AKM kali ini diterajui oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) juga akan melibatkan  penyertaan 25 kementerian, usahawan industri kecil dan sederhana, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang masing-masing akan mengetengahkan perkhidmatan serta produk mereka.

 

Mengulas mengenai slogan penganjuran AKM kali ini, Muez berkata, ia bagi memberi pemahaman dan penerangan bahawa keselamatan dan kedaulatan negara, tanggungjawab bersama semua rakyat Malaysia dan bukannya hanya terletak di bahu pasukan keselamatan beruniform.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula dijadualkan merasmikan AKM kali ini pada pagi Sabtu, sebelum menghadiri program Kenduri Rakyat, yang merupakan sebahagian daripada pengisian  AKM, di Tanjung Lumpur, di sini pada tengah hari.

 

 

akm

 

 

Muez berkata, AKM yang diadakan dari pukul 9 pagi hingga 9 malam juga akan disi dengan pameran kerjaya, bagi memberi peluang kepada orang ramai khususnya golongan belia yang sedang mencari pekerjaan, selain reruai Citarasa Keluarga Malaysia dan jualan murah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

 

Selain itu, beliau juga memaklumkan pengunjung boleh menyertai program  cabutan bertuah yang menyediakan hadiah utama kereta dan motosikal, selain turut diadakan ialah persembahan artis terkenal seperti Faizal Tahir dan Ning Baizura pada malam Sabtu. - DagangNews.com