Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Dis - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor telekomunikasi berdasarkan prestasi 9 bulan pertama 2021 yang memenuhi jangkaannya.
Bagi syarikat di bawah liputannya, firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Telekom Malaysia Bhd. (TM), sebaliknya kekal dengan saranan 'pegang' terhadap Maxis Bhd.
Penganalisisnya, Alex Goh berkata, hasil TM meningkat 12% bagi tempoh 9 bulan itu didorong permintaan lebih tinggi daripada data borong dan langganan unifi di sebalik kenaikan 7% kos operasi disebabkan kos perolehan dan pemasangan pelanggan yang lebih tinggi semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.
"Walaupun pendapatan teras Maxis bagi suku ketiga susut 10% disebabkan peningkatan caj susut nilai/pelunasan berikutan tempoh penggunaan bagi hak spektrum kumpulan dipendekkan, sektor ini secara amnya menjangkakan prestasi suku keempat yang lebih kukuh memandangkan kelonggaran sekatan pergerakan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Secara dasarnya, keuntungan bersih teras pengendali selular pada suku ketiga meningkat sebanyak 8% suku ke suku kepada RM872 juta didorong kos operasi yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi penurunan 1% suku ke suku bagi hasil kepada RM5.4 bilion.
Perbelanjaan operasi yang lebih rendah sebahagian besarnya menyebabkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) pengendali selular pada suku ketiga adalah lebih tinggi sebanyak 1.2 mata peratusan bagi suku ke suku kepada 45%.
Langganan bersih selular juga meningkat sebanyak 285,000 suku ke suku menerusi segmen prabayar dan pascabayar. Tetapi, segmen prabayar masih kekal pasaran utama selular terutama dengan tarikan baharu menerusi segmen belia.
Tetapi, secara keseluruhan, pendapatan purata setiap pengguna (ARPU) pada suku ketiga itu sebahagian besarnya kekal stabil pada RM45/bulan, hampir menyamai paras pada suku pertama 2017 memandangkan penurunan harga pascabayar kebanyakannya diimbangi dengan peningkatan pelanggan bagi segmen nilai yang lebih tinggi.
Menurut Goh, walaupun mengekalkan kedudukan sebagai peneraju dalam segmen pascabayar, tetapi Maxis juga masih menduduki tangga teratas dalam kategori prabayar dengan penguasaan pasaran sebanyak 35.5%.
Bagaimanapun, katanya, ia adalah lebih rendah berbanding 38% pada suku kedua 2020 apabila operator lain berkembang lebih pantas dalam segmen ini.
"TM pula akan meraih prospek yang lebih cerah menerusi inisiatif MyDigital, antaranya pelancaran 5G yang akan dilaksanakan di bawah Digital Nasional Bhd. (DNB).
"Kami percaya ini satu perkembangan positif kepada TM, dan tidak kurang juga bagi Time dotCom dalam menyediakan sistem yang menjadi tulang belakang kepada rangkaian 5G," katanya.
Di bawah inisiatif MyDigital, ia melibatkan pelaburan sehingga RM15 blion dalam tempoh 10 tahun menerusi DNB yang akan memiliki, melaksanakan dan menguruskan spektrum dan infrastruktur 5G. - DagangNews.com








