Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Dis - Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS), Aurelius Technologies Bhd (ATech) mempunyai prospek cerah terutama untuk merebut peluang dalam industri semikonduktor yang semakin berkembang di peringkat global.
Tambahan pula, pada 29 November lalu, syarikat telah melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) yang menyasarkan untuk mengumpul sehingga RM104.73 juta yang akan digunakan untuk mengukuhkan lagi struktur modal bagi mempercepatkan pertumbuhan ATech.
Ini membolehkan firma penyelidikan, TA Securities dan RHB Investment Bank Research dalam nota kajian masing-masing hari ini meletakkan nilai wajar (FV) ATech pada RM1.73 sesaham.
Penganalisis TA Securities, Wilson Loo berkata, dengan harga tawaran IPO pada RM.136 sesaham, penilaian ATech menjejaki nisbah harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 31x berbanding pendapatan sesaham (EPS) teras bagi tahun kewangan 2021 (FY21).
"Apabila kami mengaitkan harga gandaan PE sebanyak 20x berbanding EPS bagi FY22, kami memperoleh FV pada RM1.73 sesaham.
"Kami berpendapat, gandaan PE itu adalah wajar seiring dengan prospek pertumbuhan 2 digit pendapatan didorong pelan pengembangan untuk memanfaatkan pertumbuhan daripada industri komunikasi dan internet segala-galanya (IoT) di tengah-tengah transformasi digital dan prospek sistem pek bateri lihium-ion pada masa akan datang," jelasnya.
Berbanding, pemain industri lain, termasuk V.S Industry Bhd., SKP Resources Bhd. dan PIE Industrial Bhd., dagangan berada dalam julat antara 16 hingga 20x berbanding EPS FY22.
Beliau menjangkakan pendapatan dan untung bersih teras ATech bagi FY21 hingga FY24 akan mencatat kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 3 tahun sebanyak 5.8% dan 33.7% kepada RM429 juta dan RM37.6 juta.
Katanya, ini berdasarkan kepada anggaran jualan bagi FY21, FY22, FY23 masing-masing sebanyak 2.5%, 7.5% dan 7.5%.
"Pertumbuhan ini akan dipacu menerusi segmen utama kumpulan termasuk produk komunikasi dan IoT, peranti elektronik dan komponen semikonduktor.
"Ini akan disokong dengan pemulihan ekonomi dan peningkatan permintaan bagi produk komunikasi dan IoT di tengah-tengah transformasi digital global," jelasnya.

Loo juga melihat keuntungan ATech akan terus meningkat sejajar dengan peningkatan sumbangan daripada pelanggan bagi pengeluaran komponen semikonduktor (modul IoT).
"Kami percaya margin dalam bidang baharu ini akan lebih tinggi memandangkan prosesnya adalah lebih tinggi dalam rantaian nilai.
"Oleh itu, kami menjangkakan margin bersih teras ATech secara menyeluruh akan meningkat daripada 4.3% pada FY21 kepada 8.8% bagi FY24," tambah beliau.
Baca : Aurelius Technologies Bhd lancarkan prospektus untuk penyenaraian di Papan Utama
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ATech, Lee Chong Yeow berkata, bagi tahun kewangan terakhir berakhir 31 Januari 2021, syarikatnya menghantar 48.7% produknya ke negara Asia Pasifik, 43% ke Amerika Syarikat (AS) dan baki 8.3% ke Eropah.
Syarikat itu yang berpangkalan di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah dengan kilang pengeluarannya menggaji lebih 1,000 rakyat tempatan dan turut bekerjasama rapat dengan semua industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan.
Sebagai sebahagian daripada strategi keseluruhan syarikat, ATech sedang meningkatkan rantaian nilai dalam pembuatan komponen semikonduktor untuk meluaskan portfolionya untuk menghasilkan modul IoT semikonduktor.
Sementara itu, penganalisis RHB Research, Soong Wei Siang berkata, dengan menilai ATech lebih 20% diskaun daripada purata sektor EMS, penilaian itu adalah menarik dengan mengambil kira prospek dan pertumbuhan pendapatan yang menyakinkan.
"Walaupun asas keuntungannya agak kecil berbanding pemain EMS lain, tetapi kami percaya penilaian ATech mungkin menjejaki pesaingnya, disebabkan profil ganjaran risiko yang lebih menarik.
"Faktor ini mengambil kira pendedahan kepada semikonduktor dan penggunaan 100% tenaga buruh tempatan, pertamanya, dapat meningkatkan kemampanan kepada margin, manakala yang kedua menyelamatkan ATech daripada isu berkaitan pekerja asing," jelasnya.

ATech secara dasarnya, telah mematuhi kod tingkah laku yang ditetapkan oleh Responsible Business Alliance (RBA), gabungan industri terbesar dunia yang berdedikasi untuk tanggungjawab sosial korporat dalam rantaian bekalan global.
Di samping itu, syarikat juga sedang menaik taraf kemudahannya ke arah industri 4.0, terdiri daripada penggunaan automasi, kecerdasan pintas, IoT dan data masa sebenar dalam usaha meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh.
Menurut Chong Yeow, syarikat mula meneroka arena semikonduktor pada FY20 selepas memperoleh perjanjian bagi perkhidmatan pembuatan elektronik.
Ini menyaksikan pendapatan daripada produk semikonduktor melonjak sehingga RM5.3 juta dalam tempoh 7 bulan bagi tahun kewangan 2022 (7MFY22) daripada RM1.3 juta bagi tempoh 7MFY21, apabila pengeluaran ditingkatkan dan kumpulan merekodkan keuntungan kasar sebanyak RM3 juta berbanding kerugian setahun lalu.
"Selepas menambah 2 lagi barisan pengeluaran pada Ogos dan Oktober, ia menjadikan jumlahnya kepada 4. ATech menyasarkan untuk meningkatkan lagi barisan pengeluaran kepada 7 menjelang 2023 bagi memenuhi permintaan pelanggan.
"Oleh itu, kami menjangkakan bahagian ini akan memberi sumbangan lebih ketara kepada kumpulan pada masa akan datang sekali gus meningkatkan margin kumpulan.
"Kami menjangkakan margin bersih akan berkembang kepada 8.2% pada FY23 berbanding 6.6% dalam tempoh 7MFY21," katanya.
Secara dasarnya, beliau melihat ATech akan menikmati pertumbuhan pendapatan yang lebih pesat, dengan mengunjurkan CAGR untung bersih 3 tahun sebanyak 36%, lebih tinggi berbanding 18% terhadap SKP Resources dan 20% bagi VS Industry.
Kelebihan berbanding pesaing lain terletak pada pendedahannya kepada sektor semikonduktor tanpa bergantung kepada pekerja asing, yang akan mengukuhkan lagi margin dan mengelakkan ATech berdepan isu berkaitan masalah pekerja asing.
Chong Yeow juga secara amnya, positif terhadap sektor EMS yang menjanjikan aliran masuk kerja yang mantap disokong kepakaran pemain tempatan dan rantaian bekalan yang lengkap.
"Ini secara tidak langsung akan memudahkan struktur kos dan pelaksanaan yang kukuh, yang sepatutnya menarik lebih banyak pelanggan untuk mengembangkan sumber pembuatan mereka di Malaysia," jelas beliau. - DagangNews.com








