Nilai jualan sektor pembuatan meningkat 8.6% kepada RM156.3 bilion - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Nilai jualan sektor pembuatan meningkat 8.6% kepada RM156.3 bilion - DOSM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 7 Feb - Nilai jualan sektor pembuatan Malaysia pada Disember  2022 meningkat sebanyak 8.6% tahun ke tahun kepada RM156.3 bilion manakala keseluruhan prestasi mencapai RM1.8 trilion pada 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengembangan nilai jualan pada Disember tahun lalu diperkukuh oleh pertumbuhan dua angka dalam subsektor peralatan pengangkutan dan perkilangan lain (10.9%) terutamanya dalam industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan separa treler.

 

“Pertumbuhan itu juga disebabkan oleh peningkatan kukuh dalam subsektor petroleum, kimia, getah dan produk plastik (10.3%) disokong oleh industri pembuatan kok dan produk petroleum ditapis serta subsektor pembuatan makanan, minuman dan tembakau yang melonjakkan lagi kepada 10.3% disokong oleh pembuatan produk makanan,” katanya.

 

Beliau berkata, nilai jualan industri berorientasikan eksport yang menyumbang 72.5% daripada jumlah jualan, meningkat sederhana sebanyak 9.2% pada Disember 2022 berbanding pertumbuhan dua angka sebanyak 13.6% dicatatkan pada November 2022, seiring dengan prestasi eksport yang lebih perlahan pada bulan tersebut.

 

Selain itu, nilai jualan dalam industri berorientasikan domestik naik sedikit kepada 7.2% daripada pertumbuhan 7.1% pada bulan sebelumnya.

 

Berbanding November 2022, beliau berkata nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport terus menurun sebanyak 2.3% manakala industri berorientasikan domestik kembali kepada pertumbuhan negatif 0.3%, katanya, lapor Bernama.

 

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, sebanyak 2.34 juta orang yang terlibat dalam sektor pembuatan pada Disember 2022, mengukuh 3.4% daripada 2.26 juta orang setahun lepas.

 

 

dosm

 

 

Peningkatan ini disumbangkan oleh produk E&E (5.2%), produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (4.9%) serta produk makanan, minuman dan produk tembakau (4.9%) dan subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik (2.6%).

 

“Sejajar dengan peningkatan guna tenaga, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan menokok 5.4%, berjumlah RM8.56 bilion.

 

“Selain itu, nilai jualan bagi setiap pekerja bertambah sebanyak 5.1% daripada bulan yang sama pada 2021 kepada RM66,937 manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja berjumlah RM3,666,” katanya.

 

Pada suku keempat suku keempat 2022, beliau berkata, nilai jualan sektor pembuatan terus mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak 11.1% berbanding suku keempat 2021 kepada RM474.4 bilion.

 

Pertumbuhan itu didorong oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik (16.2%); produk elektrik dan elektronik (14.8%) dan subsektor makanan, minuman dan produk tembakau (6.5%), katanya.

 

Bilangan pekerja dan gaji dan upah pada suku 2022 masing-masing naik sebanyak 3.4% dan 5.0%, katanya.

 

“Merumuskan prestasi keseluruhan pada 2022, nilai jualan sektor pembuatan ialah RM1,800.7 bilion, meningkat 15.8% daripada 2021.

 

“Pada tahun ini, bilangan pekerja ditambah sebanyak 3.4% untuk merekodkan sejumlah 2.34 juta orang dengan gaji dan upah melonjak sebanyak 5.2% kepada RM94.5 bilion.

 

Selain itu, nilai jualan bagi setiap pekerja mencatatkan pertumbuhan sebanyak 12.1%, berjumlah RM771,048,” kata Mohd Uzir. - DagangNews.com