NAICO Malaysia, Boeing lancar forum rantaian bekalan aeroangkasa pertama di Kuala Lumpur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

NAICO Malaysia, Boeing lancar forum rantaian bekalan aeroangkasa pertama di Kuala Lumpur

(Dari kanan) Ketua Pegawai Eksekutif NAICO Malaysia, Prof Shamsul Kamar Abu Samah; Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, Datuk Hanafi Sakri; Presiden Boeing Asia Tenggara, Alexander Feldman; Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Pengarah Kanan Rantaian Bekalan Global-APAC Boeing, Craig Abler dan Pengarah Rantau, Inisiatif Strategik Global Boeing, Sheikh Abd Rahman di majlis perasmian Forum Rantaian Bekalan Aeroangkasa Boeing-NAICO hari ini
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Okt - The Boeing Company dan Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO Malaysia) bekerjasama lancar Forum Rantaian Bekalan Aeroangkasa Boeing-NAICO.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, NAICO Malaysia berkata forum tersebut membuktikan kerjasama yang menggabungkan kepakaran Boeing, nama yang sinonim dengan teknologi aeroangkasa termaju, dengan aspirasi industri aeroangkasa Malaysia yang berpandangan jauh.

 

Forum itu telah dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di sini hari ini.

 

Kerjasama tersebut merupakan komitmen terhadap inovasi, pertumbuhan dan kemajuan dalam sektor aeroangkasa, sejajar secara langsung dengan empat misi utama yang ditekankan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

 

“Dengan memanfaatkan rantaian bekalan dan kepakaran Boeing yang meluas, kerjasama ini bertujuan untuk memacu industri aeroangkasa Malaysia ke dalam aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi, menyumbang kepada kerumitan ekonomi dan mengukuhkan sektor eksport pembuatan,” katanya.

 

Di samping itu, NAICO Malaysia berkata menerusi kerjasama tersebut, Malaysia mempercepatkan penggunaan teknologi dan memupuk inovasi, sejajar dengan misi untuk mewujudkan sebuah negara yang bertenaga secara digital dan merangsang pemacu pendigitalan kerajaan.

 

Menurut agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu, kedua-dua organisasi komited kepada amalan mampan, menumpukan perhatian kepada tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik dan ekonomi kitaran dalam industri aeroangkasa, mengulangi misi untuk mencapai pelepasan sifar bersih dan pembangunan mampan.

 

“Dengan memupuk kerjasama dan menyepadukan dalam rantaian nilai global, inisiatif ini meningkatkan keselamatan dan keterangkuman ekonomi Malaysia, seperti ditekankan dalam NIMP 2030, dengan mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan kelompok industri, menyumbang kepada pelaburan domestik yang lebih besar,” tambahnya.

 

NAICO berkata keputusan Boeing memilih Malaysia sebagai tempat untuk mengadakan forum itu menekankan kepentingan strategik Malaysia dalam landskap aeroangkasa global.

 

“Ia menyerlahkan keyakinan yang semakin meningkat terhadap keupayaan Malaysia dan komitmen bersama kedua-dua Boeing dan NAICO bagi menjalin perkongsian baharu dan meneroka ufuk baharu bersama-sama,” ulasnya.

 

Forum terbabit merangkumi pelbagai topik, termasuk jejak rantaian bekalan boeing di Malaysia, gambaran keseluruhan strategi, insentif untuk pelaburan pembekal, teknologi rantaian bekalan serta penyelidikan dan pembangunan.

 

Matlamatnya adalah untuk menyelaraskan perbincangan ini dengan misi yang digariskan dalam NIMP 2030, membimbing industri aeroangkasa ke arah masa depan yang lebih baik dan makmur. - DagangNews.com