KUALA LUMPUR 30 Jan - Mynews Holdings Bhd. menyasarkan untuk membuka 50 cawangan baharu sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2023 (FY23) dengan kira-kira 80% daripadanya tertumpu kepada CU, kedai Mynews dan Mynews Supervalue, demikian menurut Maybank Investment Bank (IB).
Bagaimanapun, firma itu berkata, pengembangan kedai CU akan lebih perlahan (berbanding FY22 sebanyak 104 stor tahun ke tahun) memandangkan skala ekonomi yang mencukupi telah dicapai untuk membantu kadar penggunaan pusat pemprosesan makanan (FPC) iaitu kira-kira 60% dan capaian keseluruhan pelanggan.
Rangkaian kedai serbaneka itu akan memberi tumpuan untuk mengurangkan kadar pembaziran dalam kedai dan menambah baik campuran produknya.
Secara berasingan, operasi FPC berada di landasan untuk pulang modal menjelang akhir FY23 pada kadar penggunaan sekitar 70 hingga 75%.
"Walaupun hasil bagi FY23 dijangka kekal untung, tetapi pemulihan ke tahap sebelum pandemik akan dilakukan secara beransur-ansur.
"Kami percaya pengguna akan mengambil sikap yang lebih berhati-hati dalam berbelanja sepanjang FY23 kerana tekanan inflasi akan terus mempengaruhi keseluruhan pendapatan isi rumah selepas perbelanjaan berlebihan pada FY22," katanya dalam nota kajian hari ini.
Momentum jualan pada November 2022 dan awal Januari 2023 adalah hambar kerana pengguna bersiap sedia untuk perbelanjaan yang lebih tinggi semasa perayaan akhir tahun dan Tahun Baharu Cina.
Namun, Maybank IB berkata, keseluruhan jualan pada suku pertama FY23 itu dijangka lebih baik bagi suku ke suku terutama dipacu jualan yang lebih kukuh ketika musim cuti sekolah pada Disember 2022.
"Secara dasarnya, rangkaian kedai Mynews masih terjejas teruk dengan masalah kekurangan pekerja dan ia memerlukan tambahan 10 hingga 15% (300 hingga 500 kakitangan) daripada jumlah tenaga kerjanya bagi membolehkannya beroperasi pada tahap optimum," jelasnya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Mynews dengan harga sasaran tidak berubah pada 80 sen.
Setakat 10.09 pagi ini, harga sahamnya susut 0.5 sen atau 0.71% kepada 69.5 sen dengan 55,400 saham diniagakan. - DagangNews.com








