MyEG : Cukai jalan, lesen memandu masih boleh diperbaharui dengan saluran sedia ada | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MyEG : Cukai jalan, lesen memandu masih boleh diperbaharui dengan saluran sedia ada

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Feb - Pemilik dan pemandu kenderaan masih boleh memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu melalui saluran sedia ada tetapi kini boleh memilih untuk tidak menerima salinan fizikal dokumen mereka, kata MyEG Services Bhd.

 

"MyEG memberi jaminan kepada semua pengguna yang dihargai bahawa penyediaan cukai jalan dan pembaharuan lesen memandu berterusan tanpa gangguan,” menurut kenyataan kumpulan itu kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Kumpulan itu juga berkata, ia terus komited berkhidmat kepada orang ramai di negara ini dengan menyediakan platform dalam talian yang selamat dan mudah untuk pemilik dan pemandu kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini telah mengumumkan pemilik kenderaan persendirian tidak perlu lagi mempamerkan cukai jalan mereka.

 

Menurut Loke, langkah tersebut adalah usaha pendigitalan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya bagi lesen kenderaan bermotor dan lesen memandu.

 

Saham MyEG kembali aktif selepas aktiviti dagangan sekuriti kumpulan itu digantung dari 9 pagi hingga 10 pagi hari ini. 

 

Setakat 10.16 pagi, harga sahamnya susut 1 sen atau 1.65% kepada 59.5 sen dengan 70.13 juta saham diniagakan. – DagangNews.com