KUALA LUMPUR 6 Jan - Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) memperoleh 88 acara perniagaan masa hadapan yang dijangka menarik 104,834 perwakilan serta menyumbang anggaran impak ekonomi RM1.47 bilion dari 2023 hingga 2030.
Bagi 2023, MyCEB bersama-sama pihak berkepentingan industri bersedia untuk mengadakan 35 aktiviti acara perniagaan dan menjangka untuk mengalu-alukan lebih 40,000 perwakilan tempatan dan antarabangsa sekali gus diterjemahkan kepada RM390 juta dari segi anggaran impak ekonomi.
“Tahun lepas, MyCEB berjaya mengadakan 152 acara perniagaan yang membawa sejumlah 402,320 perwakilan dan daripada jumlah itu 92,000 adalah perwakilan antarabangsa. Impak ekonomi yang dijana bernilai RM1.23 bilion, satu petunjuk peningkatan bahawa industri acara perniagaan semakin pantas mencatatkan pemulihan,” jelas MyCEB.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Abdul Khani Daud berkata, memandangkan industri acara perniagaan Malaysia mengalami peralihan ketara ke arah pelaksanaan trend baharu agar seiring dengan permintaan semasa, MyCEB bersama-sama profesional industri kekal optimistik namun berhati-hati untuk merancang acara yang layak dan menyesuaikan dengan ketidaktentuan yang berlarutan.
“Perancangan acara yang besar, yang Malaysia telah berjaya anjur pada 2022 dan seterusnya mencerminkan keyakinan kukuh penganjur terhadap asas negara, ditonjolkan oleh budaya perniagaan yang rancak, infrastruktur yang cemerlang, kerajaan yang stabil dan rekod prestasi cemerlang dalam menganjurkan acara berkualiti tinggi,” katanya.
Menurut MyCEB, pihaknya akan terus mengutamakan lima segmen utama dalam industri acara perniagaan iaitu mesyuarat, insentif, konvensyen, pameran dan acara sukan antarabangsa.
Bagi memperkukuh lima segmen tumpuan teras, MyCEB menjelaskan, dalam rangka kerja biro peringkat nasional, terdapat usaha untuk melantik semula wakilnya bagi pasaran China, India, Korea Selatan dan Asean bagi meneroka peluang global dalam acara perniagaan dan menambah nilai kepada interaksi perniagaan.
Abdul Khani berkata, MyCEB juga akan terus menawarkan pelbagai skim bantuan untuk menarik acara perniagaan ke Malaysia.
Beliau berkata dalam bergerak maju, MyCEB menyasar untuk meletakkan kembali Malaysia kepada tahap sebelum pandemik dalam tempoh satu hingga dua tahun bagi aktiviti perniagaan dengan kehadiran secara peribadi, lapor Bernama.
“Acara perniagaan akan berada di kemuncak persaingan dan kami gembira berkongsi bahawa Malaysia sedang berusaha untuk penganjuran antarabangsa yang terkemuka kerana ia adalah matlamat kami untuk membawa masuk Ekspo Dunia dan acara perniagaan yang setara,” katanya. - DagangNews.com








