KUALA LUMPUR 20 Feb - Pemaju hartanah baharu, MCT Bhd memeterai perjanjian dengan HPC Development Sdn Bhd untuk projek kediaman pegangan bebas seluas 1.57 hektar di Seputeh, Kuala Lumpur berjumlah RM58 juta.
Lokasi strategik tanah itu di pinggir pusat perniagaan Kuala Lumpur berada dalam kawasan kejiranan yang matang dan mewah berdekatan kemudahan awam dan infrastruktur yang mudah didapati dengan ketersambungan sangat baik di sekitarnya, katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan pelan awal dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, MCT bercadang membangunkan pangsapuri butik yang mempunyai 126 unit dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM320 juta dan pendaftaran dijadualkan dibuka menjelang akhir 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif MCT, Teh Heng Chong berasa teruja dengan projek pertama syarikat itu di pusat bandar, selaras dengan strategi mereka untuk mengembangkan projek pembangunan di lokasi strategik di Lembah Klang.
“Ini juga menandakan perolehan tanah kedua kami dalam tempoh enam bulan berikutan pengambilalihan tiga bidang tanah komersial di Bangi pada Ogos 2022.
"Pembangunan yang dicadangkan juga akan menjadi lanjutan daripada siri Aetas premium kami,” tambahnya.
Menurut Heng Chong, Aetas Damansara merupakan pembangunan pangsapuri mewah yang dilancarkan pada Disember 2020 dan mempunyai kadar pembelian rumah lebih daripada 80% setakat ini.
“Kami berharap dapat mencapai kejayaan Aetas Damansara yang juga memenangi anugerah kerana kami telah menjalankan penyelidikan pasaran meluas untuk memastikan produk yang dihasilkan memenuhi segmen pasaran ini.
"Malah, kami optimis cadangan pembangunan Aetas Seputeh akan menyumbang kepada rancangan pertumbuhan masa depan dan prospek pendapatan kumpulan,” katanya.
Tambah Heng Chong, tanah pembangunan yang diluluskan itu akan membolehkan MCT untuk memulakan perancangan, pembangunan dan pemasaran projek itu dengan segera selepas selesai cadangan pengambilalihan. -DagangNews.com








