MTA, IRC jalin kerjasama tingkatkan pengetahuan perkukuh landskap industri takaful | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MTA, IRC jalin kerjasama tingkatkan pengetahuan perkukuh landskap industri takaful

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Jan - Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Pusat Penyelidikan Insurans Iran (IRC) bekerjasama dalam program berasaskan peningkatan pengetahuan takaful dengan tujuan mengukuhkan landskap industri tersebut.

 

Kerjasama ini mengambil kira pentingnya pembangunan industri takaful dengan mewujudkan perkongsian dinamik untuk memanfaatkan pengalaman dan kepakaran setiap pihak dalam takaful dan kewangan Islam secara keseluruhan untuk manfaat sinergi.

 

Melalui kerjasama ini, kedua-dua organisasi akan bekerjasama dalam pemupukan pengetahuan, latihan dan pendidikan, pertukaran maklumat dan menyediakan perundingan serta memupuk hubungan antarabangsa antara industri insurans domestik dengan perniagaan insurans antarabangsa.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MTA, Mohd Radzuan Mohamed berkata, mereka mengalu-alukan kerjasama dengan IRC sebagai sebahagian daripada komitmen ke arah meningkatkan industri ke tahap baharu. 

 

Beliau berkata, kerjasama ini menjadi satu lagi faktor penyumbang dalam mendorong pembangunan landskap industri takaful dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara peneraju terbaik menyokong ekonomi Islam global yang bernilai beberapa trilion dolar.

 

Katanya, Malaysia mempunyai ekosistem kewangan Islam progresif merangkumi institusi kewangan Islam, pengawal selia, korporat patuh syariah, pengurus dana Islam dan industri halal yang mempunyai permintaan pada produk takaful.

 

“Perkongsian itu menandakan satu lagi pencapaian bagi industri takaful di Malaysia dalam menjalin pakatan strategik yang bertujuan untuk mencapai manfaat sinergi bersama.

 

 

takaful
Prof Dr Mohammad Mahdi Asgari (kiri) dan Mohd Radzuan Mohamed ketika memeterai memorandum perjanjian antara MTA dan IRC

 

 

"Ini meletakkan kedua-dua negara kita ke arah mencapai sistem kewangan Islam yang dinamik, berdaya saing dan cekap yang mampu menyumbang kepada ekonomi, komuniti serta negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif IRC, Prof Dr Mohammad Mahdi Asgari pula berkata, kerjasama ini akan memberi manfaat kepada Malaysia dan Iran daripada segi perkongsian pengetahuan mengenai takaful di peringkat antarabangsa. 

 

Katanya, ia dapat membantu meningkatkan potensi takaful dan juga membantu membuka lebih banyak peluang di masa hadapan antara kedua-dua pihak serta menyumbang ke arah penubuhan profesional kewangan Islam dan takaful yang terlatih dan berkemahiran tinggi.

 

"Kerjasama ini bertujuan untuk mengukuhkan dan memperluaskan hubungan saintifik IRC dengan institusi akademik berkaitan mengenai penciptaan jurnal saintifik bersama, persidangan saintifik pelbagai hala bersama dan bengkel khusus antarabangsa," katanya. - DagangNews.com