MSM dedah 7 calon ‘diteliti’ selepas pemecatan CEO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MSM dedah 7 calon ‘diteliti’ selepas pemecatan CEO

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 27 April - MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) menerusi laporan tahunan kewangan 2020 (FY20) hari ini mendedahkan terdapat tujuh calon awal bagi mengisi jawatan ketua pegawai eksekutif kumpulan (GCEO). 

 

Ini susulan Datuk Khairil Anuar Aziz dipecat serta-merta daripada jawatan itu sekitar Oktober tahun lalu selepas terpalit dengan isu ketidakseimbangan berkaitan inventori MSM Sugar Refinery (Johor) Sdn. Bhd. dalam penyata kewangan 2019.

 

“Firma pemilihan bagi tujuan pencarian bakat untuk jawatan GCEO dan ketua pegawai operasi kumpulan (GCOO) membentangkan tujuh calon bagi jawatan GCEO dan enam calon bagi jawatan GCOO. 

 

“Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan (NRC) menyenarai pendek lima calon bagi jawatan GCEO termasuk pemangku GCEO (Fakhrunniam Othman) dan empat calon bagi GCOO termasuk pemangku jawatan itu (Hasni Ahmad) untuk ditemuduga.

 

“Kesemua ahli NRC menjalankan temuduga selama tiga hari pada Disember 2020 dan mencadangkan kepada Lembaga bagi pelantikan,” jelas MSM dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Pada September 2020, syarikat pengeluar gula halus itu menuntut Khairil Anuar dan bekas GCOO, Mohd. Shaffie Said untuk memberikan penjelasan berhubung pengubahsuaian inventori sebanyak RM36.6 juta.

 

Pada tempoh interim, Fakhrunniam dan Hasni masing-masing dilantik untuk menjalankan tugas-tugas GCEO serta GCOO.

 

Selepas penilaian dijalankan ke atas kenyataan Khairil Anuar dan Mohd. Shaffie, MSM memecat kedua-duanya berkuatkuasa 5 Oktober 2020.

 

Pada Februari 2021, Syed Feizal Syed Mohammad and Hasni masing-masing dilantik sebagai GCEO dan GCOO, sekali gus Fakhrunniam berhenti memangku jawatan GCEO pada hari yang sama.

 

MSM menyaksikan kerugian bersih kumpulan bagi tahun kewangan 2020 (FY20) menyusut kepada RM71.23 juta daripada RM299.77 juta yang dicatatkan bagi tahun sebelumnya. 

 

Pengerusi MSM, Datuk Syed Hisham Syed Wazir menerusi laporan tahunan sama menjelaskan keutamaan syarikat dalam meningkatkan pulangan buat pemegang saham adalah dengan mencari peluang berterusan untuk meningkatkan penggunaan MSM Johor.

 

Kumpulan itu berhasrat untuk meningkatkan prestasi MSM Johor kepada lebih 50% purata penggunaan kapasiti sepanjang tahun ini. 

 

“Dalam masa terdekat, beberapa peluang yang ingin diteroka MSM adalah mengembangkan pasaran eksport gula pasir seperti ke China, Indonesia, Singapura dan Vietnam; pertumbuhan dalam produk gula hiliran seperti gula cecair, sirap halus dan adunan awal; serta kolaborasi perniagaan dengan pemain industri utama seperti Wilmar, Maxwill dan Coca-Cola untuk mengembangkan perniagaan kami.

 

“Dengan ramalan kapasiti pemprosesan yang stabil dan prospek eksport yang positif, MSM akan terus berdaya tahan dan memantapkan peranannya sebagai peneraju industri gula,” katanya. 

 

Setakat 3.31 petang, nilai saham MSM menokok 3 sen kepada RM1.60. - DagangNews.com