KUALA LUMPUR 14 Mac - MR DIY telah menerima Anugerah Rakan Kongsi Cemerlang 2022 daripada Universiti Malaya (UM) di atas sokongan dan sumbangan berterusan peruncit tersebut kepada universiti itu serta komunitinya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Adrian Ong berkata usaha sama menjadi asas kejayaan beberapa program komuniti yang mampan dan inisiatif ini dapat dilihat dengan lebih jelas lagi di UM.
Katanya, pengasas kumpulan, Tan Yu Yeh, merupakan alumni universiti itu yang telah membantu MR DIY untuk memulakan pelbagai program bermanfaat termasuk memberikan bantuan pandemik, bantuan kewangan pelajar, mempromosikan konsep kelestarian di sekolah menengah di seluruh negara, serta menambah baik peralatan dan kemudahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Usaha sama sejak sekian lama dan saling menguntungkan ini adalah sesuatu yang amat kami hargai, dan anugerah ini merupakan pengiktirafan yang membuktikan bahawa usaha kami telah menghasilkan perubahan,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Naib Canselor UM, Profesor Datuk Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, universiti itu amat menghargai sokongan berterusan kumpulan tersebut.
"Pelbagai inisiatif yang telah dijalankan bersama memberi impak positif kepada para pelajar, komuniti pengajar, PPUM serta pelajar sekolah menengah di seluruh negara.
Sokongan mereka sangat konsisten, pelbagai dan amat berharga justeru kami memilih MR DIY sebagai Rakan Kongsi Korporat Cemerlang UM,” katanya.
Sejak 2017, MR DIY telah bekerjasama dengan UMCares untuk menganjurkan 'DIY Made Simple', sebuah pertandingan tahunan peringkat kebangsaan buat pelajar sekolah menengah bagi mewujudkan kesedaran mengenai pilihan gaya hidup lestari dan menginspirasikan idea baharu untuk mengguna semula, mengitar semula, menjana semula dan meningkatkan nilai barangan.
Pada awal tahun ini, kumpulan itu telah mengumumkan untuk meneruskan usaha sama tersebut selama tiga tahun lagi memandangkan ia telah memberi manfaat kepada lebih daripada 3,000 pelajar.
Kumpulan tersebut telah memberi bantuan tunai sebanyak RM3.6 juta kepada lebih 12,000 pelajar UM dan RM300,000 kepada PPUMCare bagi menampung kos rawatan pesakit kurang berkemampuan. -DagangNews.com








