MPOB anjur seminar ekonomi minyak sawit 13 Januari ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MPOB anjur seminar ekonomi minyak sawit 13 Januari ini

 

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan menganjurkan Seminar Tinjauan dan Semakan (R&O) Ekonomi Minyak Sawit 2022 pada 13 Januari 2022 untuk menyebarkan maklumat berkaitan prestasi industri sawit Malaysia pada 2021, prospek pasaran dan tinjauan harga untuk 2022.

 

Dalam kenyataan hari ini, MPOB berkata, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin akan merasmikan seminar itu, yang merupakan salah satu platform MPOB untuk menyediakan maklumat terkini mengenai perkembangan industri minyak sawit.

 

Bertemakan 'Industri Sawit: Melayari Cabaran Merangkul Peluang dalam Landskap Pasca-COVID', seminar itu akan memberi tumpuan kepada hala tuju industri sawit, pendekatan yang diambil oleh kerajaan, serta pembangunan perdagangan dan kesannya terhadap komoditi. 

 

Terdapat 9 kertas kerja mengenai prestasi industri sawit bagi 2021, prospek pasaran dan tinjauan untuk 2022 akan dibentangkan.

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir akan membentangkan kertas kerja mengenai prestasi industri sawit pada 2021 dan prospek 2022.

 

Pakar minyak sawit Dr. Julian McGill dari LMC International Ltd akan menyampaikan kertas kerja mengenai harga minyak sawit pada 2021 dan tinjauan tahun 2022. Sementara itu, seorang lagi pakar industri, Dr Sathia Varqa akan berkongsi pendapatnya mengenai turun naik harga minyak makan dan faktor kemampanan pasaran minyak sawit.

 

Seorang lagi pakar industri U.R. Unnithan dari Persatuan Biodiesel Malaysia akan menyampaikan kertas kerja mengenai prospek industri biodiesel Malaysia manakala Mohamed Helmy Othman Basha dari Sime Darby Plantation akan membentangkan kertas kerja mengenai isu kekurangan buruh semasa pandemik global.

 

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Ravi Muthayah akan menyampaikan kertas kerja mengenai peluang dan cabaran industri sawit semasa harga minyak sawit tinggi. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Puan Wan Aishah Wan Hamid pula akan berkongsi pendapatnya mengenai perubahan dinamik dasar minyak makan India dan kesannya terhadap permintaan minyak sawit.

 

Penggiat industri tempatan, pengeksport, ahli ekonomi, penggubal dasar dan ahli akademik digalakkan untuk menyertai seminar ini. - DagangNews.com