PUTRAJAYA 13 Okt - Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan sebuah sistem bersepadu dibangunkan untuk memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat kepada rakyat yang memerlukan.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hampir semua agensi dan pihak kementerian masing-masing menyediakan bantuan, namun didapati masih ada individu atau kelompok yang tertinggal atau tercicir.
Beliau berkata, pada masa sama, ada pula yang menerima bantuan daripada dua tiga agensi berlainan.
"Dengan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras dan diagihkan secara telus dan cekap dengan seberapa cepat yang mungkin kepada golongan sasar.
"Mekanisme ini akan berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat yang layak memerlukan bantuan. Ini boleh mengurangkan karenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan, sekaligus mengoptimumkan penggunaan kewangan negara.
"Sebagai contoh, Encik Abu mempunyai 3 orang anak serta isteri yang tidak bekerja. Jika beliau diberhentikan kerja, maka sistem ini secara automatik akan dapat mengesan status Encik Abu melalui notifikasi yang dicerap daripada data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Status Encik Abu sebagai seorang yang hilang pekerjaan akan melayakkan beliau menerima bantuan jangka pendek selama beliau tidak bekerja, maksimum 3 bulan untuk menampung perbelanjaan keluarga sehingga mendapat pekerjaan baharu," katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial di sini, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat MPN, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd Amin.
Muhyiddin yang juga Pengerusi MASA berkata, sistem bersepadu itu juga boleh berfungsi menyusun semula segala bentuk manfaat yang layak diterima oleh rakyat Malaysia sejak dari lahir sehingga akhir hayat menerusi data rentas agensi.
Dalam pada itu, beliau berkata, menurut data e-Kasih sehingga 30 Jun 2022, ketua isi rumah (KIR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar telah meningkat kepada hampir 145,000 berbanding hanya 45,000 pada tahun 2020.
Beliau berkata, lebih membimbangkan, sekitar 600,000 isi rumah M40 telah jatuh ke dalam kategori miskin, yang telah menyumbang kepada peningkatan golongan B40 kepada B60 pasca pandemik COVID-19.
"Peningkatan ketara ini mencerminkan realiti sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat secara keseluruhannya. Ramai yang masih terpaksa berdepan situasi sukar ekoran kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup, kehilangan pekerjaan atau penyusutan dalam pendapatan.

"Sekiranya tiada langkah intervensi segera dan serius diambil oleh agensi dan pihak berkaitan, saya khuatir masalah ini akan menjadi semakin meruncing dan parah sehingga tidak dapat diselamatkan lagi; yang miskin menjadi papa kedana, perniagaan terpaksa ditutup, produktiviti akan merosot dan akhirnya merencatkan proses pemulihan negara.
"Kita tidak boleh berlengah. Procrastination is the thief of time," katanya.
Beliau berkata, mengambil kira kemelut yang sedang dihadapi rakyat pada masa ini, usaha menangani jurang ekonomi dan kemiskinan perlu menekankan aspek keterangkuman (inclusivity) dalam strategi pemulihan negara.
Tambahnya, langkah ini penting untuk meningkatkan momentum pemulihan negara ke suatu tahap yang lebih tinggi.
"Agenda pemulihan yang bersifat inklusif akan dapat memastikan tiada golongan terpinggir atau 'no one is marginalised or left behind', khususnya masyarakat pedalaman, orang asal serta pribumi Sabah dan Sarawak. Kita mahu mereka sama-sama menikmati hasil kemakmuran negara seperti yang dihasratkan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030).
"Saya berharap Seminar Kebangsaan ini dapat menjadi wadah penting dalam menggagaskan idea yang bernas dan praktikal untuk menghasilkan strategi ampuh pemulihan negara yang menyeluruh, agar kita dapat mencapai tahap lebih baik daripada sebelum terjadinya pandemik," katanya. - DagangNews.com








